Apple saman HTC Taiwan
March 4, 2010SAN FRANCISCO 3 Mac - Ketika iPhone keluaran Apple Inc. menghadapi persaingan sengit dalam pasaran telefon pintar yang menguntungkan, syarikat itu mengemukakan satu tuntutan undang-undang paten terhadap pesaing utamanya atas dakwaan mencuri teknologi skrin sesentuh serta paparan-paparan lain.
Tuntutan yang difailkan Apple semalam itu, meliputi banyak model telefon yang dihasilkan pengeluar telefon Taiwan, HTC Corp. termasuk Nexus One, G1 dan myTouch 3G yang kesemuanya menggunakan sistem pengoperasian Android percuma daripada Google.
Bagaimanapun, pengguna tidak perlu bimbang sekiranya mereka ada membeli atau menggunakan telefon-telefon tersebut.
Kes melibatkan paten boleh mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk diselesaikan, sehingga kadang-kala lebih lama berbanding ‘hayat’ telefon itu sendiri dan perjanjian tentang pelesenan serta pembayaran royalti juga sering timbul.
Keputusan Apple itu menunjukkan tindakan tegas syarikat berkenaan ketika muncul banyak pesaing utama alat-alat telekomunikasi.
“Kami boleh duduk sahaja dan hanya memerhatikan pesaing mencuri ciptaan paten kami atau kami boleh berbuat sesuatu.
“Kami mengambil keputusan untuk berbuat sesuatu tentangnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Steve Jobs dalam satu kenyataan.
Apple berkata, HTC telah mencabuli 20 paten ciptaannya meliputi aspek paparan antara muka pengguna iPhone serta perkakasan.
Sesetengah daripadanya berkaitan dengan teknologi skrin sesentuh termasuk yang membolehkan peranti sesentuh mengesan lebih satu jari pada satu-satu masa serta membenarkan pengguna memfokus pada jarak jauh dan dekat dengan mengembangkan jari atau merapatkannya.
Google yang kehebatan perisiannya banyak digunakan telefon-telefon HTC, tidak disenaraikan sebagai defendan. - AP
Posted by shah_reza02















