nora.z’s blog

:: rencahnya hidup tak semua yang kita inginkan akan kita miliki ::

Archive for syurga

:: Solat Bagaimana Yang Perlu Diqadha? ::

Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala, iaitu melalui firmanNya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. [Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Apabila perintah ibadah solat itu dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa’ manakala apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai al-qadha. Secara lebih mendalam, qadha didefinasikan sebagai - Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan.[ 1]

Sebab-sebab Membolehkan Solat Diqadha.

Al-Qur’an dan as-Sunnah sememangnya ada mengajar kita tentang perihal menunaikan solat-solat fardhu di luar waktu yang ditetapkan. Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syari’at tersebut, iaitu:

1.     Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.

2.     Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.

3.     Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu yang sebenarnya.

4.     Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat sehingga terluput waktu solatnya.

Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu tidak mendirikan solat-solatnya yang fardhu lalu kemudian diqadhakannya di lain waktu.[2] Tertidur dan terlupa adalah suasana yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu diqadhakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat, berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam:

Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu.[3]

Nabi sallallahu-alaihi- wasallam juga telah bersabda dalam satu hadith yang lain: Sebenarnya tidak ada kecuaian dalam masa tidur, kecuaian hanya berlaku dalam masa sedar. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya apabila dia teringat, kerana Allah Ta’ala telah berfirman: “Dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku.” [4]

Kedua-dua sebab di atas diberikan kemaafan oleh syari’at kerana ia adalah bentuk keuzuran manusia yang diluar kemampuannya. Akan tetapi kemaafan ini tidaklah diberikan kepada mereka yang sengaja lagi sedar bertujuan berbuat sedemikian. Contohnya orang yang sengaja tidur di akhir waktu solat padahal dia masih belum solat maka dia dipandang sebagai berdosa besar kerana sengaja mencari helah untuk tidak solat. Demikian juga hukum yang sama bagi orang yang sengaja menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang sememangnya akan membawa kepada kelupaan seperti sengaja mengasyikkan diri dengan permainan sukan di akhir waktu solat sehingga tertinggal solatnya itu. Perbuatan sebegini membawa bebanan dosa yang amat besar ke atas orang itu dan dia selain wajib mengqadha solat tersebut, dituntut agar segera bertaubat dan memperbetulkan dirinya.

Termasuk dalam kategori orang yang tertidur, melalui kaedah qiyas, ialah orang yang pitam atau pengsan. Maka bagi mereka dimaafkan solat yang tertinggal itu akan tetapi apabila sedar semula wajib diqadha bilangan solat yang tertinggal. Akan tetapi dimaafkan secara terus orang yang diserang penyakit gila atau koma, di mana kedua ini adalah sejenis keuzuran yang berpanjangan dan orang yang menghadapi suasana ini diangkat darinya sebarang kewajipan agama, seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya. Orang yang menghadapi kondisi ini tidak perlu mengqadha solat yang tertinggal selama tempoh dia sedang gila atau koma. Walaubagaimanapun perlu dibezakan antara gila kerana penyakit atau gila kerana mabuk; di mana gila kerana mabuk adalah perbuatan sengaja manusia itu sendiri dan dia tetap diwajibkan mengqadha semula solat yang tertinggal apabila waras kembali.[5]

Kategori ketiga yang membolehkan solat diqadha ialah apabila seseorang itu  tersilap dalam kiraan waktu solatnya. Contohnya ialah apabila seseorang yang bermusafir ke negara lain lalu tersilap dalam menentukan zon waktu negara tersebut, kemudian dengan itu disangkanya bahawa waktu solat itu masih hadir padahal sudah luput maka bagi dia tiada kesalahan kecuali tetap menunaikan solat tersebut secara qadha. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu waTa’ala: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Maksud surah al-Ahzab 33 - 05] dan juga sabda Nabi sallallahu-alaihi- wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana dipaksa.[6]

Kategori keempat yang membolehkan solat fardhu ditunda dari waktunya yang asal ialah dalam suasana darurat. Darurat ialah satu kondisi yang melibatkan keselamatan nyawa dan anggota seseorang itu atau orang-orang di bawah amanahnya (Life and Death situation). Dari sudut syari’ah ianya didefinasikan sebagai - Darurat itu ialah datangnya keadaan bahaya atau kesulitan yang amat berat kepada diri manusia, yang membuatkan dirinya kuatir akan terjadinya kerosakan atau sesuatu yang menyakiti jiwa, anggota badan kehormatan, akal harta dan yang bertalian dengannya.

Ketika ini boleh atau tidak harus mengerjakan yang diharamkan atau meninggalkan yang diwajibkan atau menunda waktu perlaksanaan guna bagi menghindari kemudaratan yang diperkira dapat menimpa dirinya selama tidak keluar dari syarat-syarat yang ditentukan syara’. [7]

Dalil yang membolehkan suasana darurat sebagai faktor membolehkan penundaan kewajipan solat dari waktunya ialah peristiwa yang berlaku di ketika Perang Khandak, di mana Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam dan para muslimin sekalian sedang berada di kegentingan peperangan mempertahankan Kota Madinah dari serangan musuh sehingga tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Asar. Maka apabila serang musuh yang bertubi-tubi itu reda di waktu Maghrib, barulah Nabi sallallahu-alaihi- wasallam serta orang ramai berkesempatan untuk menunaikan solat Asar mereka, diikuti dengan solat Maghrib.

Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menceritakan: Di ketika Perang Khandak Umar al-Khattab menyumpah-marah kaum kafir Quraish di ketika matahari sudah terbenam lalu berkata: Ya Rasulullah ! Saya tidak sempat mendirikan solat Asar dan matahari sudahpun turun ! Nabi sallallahu-alaihi- wasallam berkata: Demi Allah ! Aku juga belum solat ! Dengan itu kami turun ke Buthan (perigi air - P) dan Nabi berwudhu’ dan kami juga berwudhu’ dan kemudian kami mendirikan solat Asar setelah matahari terbenam diikuti dengan solat Maghrib.[8]

Maka dari hadith dan peristiwa di atas para ahli fiqh bersepakat menyatakan bahawa kondisi yang membolehkan seseorang itu menundakan solatnya ke waktu yang lain apabila dia berada dalam keadaan sedar ialah kondisi darurat sahaja. Diulangi bahawa darurat itu ialah suasana yang membahayakan nyawa seseorang itu atau mana-mana anggota tubuh badannya. Adapun keuzuran atau apa-apa halangan lain yang tidak membahayakan nyawa dan anggota maka ia tidaklah membawa kepada kelonggaran hukum mengqadhakan solat, sepertimana yang akan dihuraikan di bawah nanti.

Tertib Mengqadha Solat.

Solat-solat yang terluput dari waktunya wajib didirikan semula secepat mungkin apabila teringat dan sedar dari kondisi terdahulu kecuali ada sebab tulen yang menghalang seperti terikat dengan suasana cuaca buruk, amanah berat dan tanggung-jawab yang tidak dapat ditangguhkan. Solat yang tertunda juga wajib diqadha secara berturut dan bergiliran, tidak dengan pilihan yang rambang. Maksudnya ialah orang yang tertidur sehingga luput solat Asarnya dan kemudian terjaga di waktu solat Maghrib maka bagi dia ialah menunaikan solat Asar dahulu kemudian diikuti oleh solat Maghrib. Demikian juga kaedahnya bagi orang yang tertinggal beberapa solat sekali-gus, dia wajib mengqadhakan solatnya itu mengikut giliran dan turutan kemudian barulah mendirikan solatnya yang hadir. Kewajipan ini didasarkan kepada hadith di atas mengenai peristiwa Perang Khandak di mana Nabi sallallahu-alaihi- wasallam apabila terhalang solat Asarnya sehingga masuk waktu Maghrib, beliau mengqadha solat Asar itu terlebih dahulu kemudian baru diikuti oleh solat Maghrib.

Walaubagaimanapun kewajipan ini, berdasarkan ijtihad para fuqaha[9], dilonggarkan dalam beberapa suasana, iaitu -

1.     Apabila waktu solat yang hadir hampir berakhir maka diharuskan mendirikan solat yang hadir dahulu kemudian diikuti oleh solat yang hendak diqadha.

2.     Apabila sedang solat lalu tiba-tiba baru teringat akan solat yang tertinggal maka dibolehkan meneruskan solat itu sehingga akhir kemudian disusuli dengan solat yang perlu diqadha itu.

3.     Apabila solat yang perlu diqadha itu melebihi solat sehari, iaitu melebih 5 waktu maka dilonggarkan kewajipan mengqadhanya mengikut turutan akan tetapi tetap wajib diqadhakannya secepat mungkin.

Disini perlu diperbetulkan perbuatan sesetengah yang memilih-milih secara rambang tentang bilakah dia akan mengqadha solat yang tertinggal dan mengikut suka hati solat apa yang hendak diqadhakan dahulu. Sumber-sumber nas jelas menerangkan bahawa solat adalah ibadah tunggak seorang muslim dan apabila tertinggal ia wajib diqadha secepat mungkin menurut turutan dan gilirannya. Adapun memilih-milih sesuka hati bilakah akan diqadha solat yang tertinggal dipandang sebagai satu perbuatan meremahkan solat dan mempermainkan tanggung-jawabnya terhadap Allah Azza waJalla dan orang sebegini dituntut agar segara bertaubat dan memperbetulkan perbuatannya itu.

:: Minta Izin Suami Untuk Ke Masjid ::

Hadith:

Musaddad menyampaikan kepada kami (katanya), daripada Yazid bin Zari’, daripada Ma’mar, daripada az-Zuhri, daripada Salim bin Abdullah, daripada bapanya, daripada nabi s.a.w bersabda baginda:”Apabila isteri seorang kamu meminta izin (ke masjid) maka janganlah ia menegahnya.”

(Bukhari)

Huraian:


Wanita tidak diwajibkan bersolat jamaah di masjid. Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadlilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjamaah di masjid dengan alasan ianya lebih tertutup dan lebih aman daripada fitnah (kesempurnaan hijab). Jika kaum wanita mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar ke masjid) kerana berkeyakinan bahawa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya. Namun begitu tidak dinafikan juga bahawa para wanita diharuskan solat berjamaah di masjid. Bahkan harus bagi wali atau suami untuk tidak melarang mereka jika hendak solat berjemaah di masjid kerana Rasulullah s.a.w tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjamaah di masjid bersama baginda sampai masa kewafatannya. Demikian pula para khulafa’ ar-Rasyidin. Namun perlu diingat bahawa keizinan itu hendaklah bergantung kepada syarat-syaratnya seperti: tidak memakai wangi-wangian, tidak bertabarruj, tidak memakai gelang kaki yang dapat didengari bunyinya, tidak memakai baju yang menarik pandangan orang, tidak bercampur dengan kaum lelaki sehingga boleh menimbulkan fitnah dan tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan kesesakan di jalan yang akan dilewati. Oleh itu bagi wanita yang mahu mengerjakan solat berjamaah di masjid wajib mematuhi syarat-syarat tersebut kerana semua perkara yang disebutkan tadi mengandungi unsur penggerak dan pengundang syahwat kaum lelaki jika tidak dipatuhi.

Source: JAKIM

:: Mati Dengan Mata Terbeliak ::

Hadith:

 

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Tidakkah kamu lihat apabila seorang manusia mati, matanya terbeliak ke atas?” Jawab mereka, “Ya kami melihatnya, ya Rasulullah.” Sabda baginda lagi:”Hal itu terjadi kerana penglihatannya mengikut rohnya ketika roh itu pergi.”

 

(Muslim)

 

Huraian:


Kehidupan yang singkat di dunia ini amat penting dalam menentukan kehidupan yang panjang di akhirat kelak. Manusia, selain tidak mengetahui hari kematiannya, mereka juga tidak mengetahui nasib akhirnya sama ada mati dalam keadaan “husnul khatimah” atau “su’ul khatimah”, sekalipun amal ibadat dirasakan semakin bertambah. Rasulullah SAW sendiri telah bersabda yang maksudnya:”Dan Dialah Tuhan dan tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga itu hanya sehasta. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia masuk ke dalam neraka. Dan sesungguhnya salah seorang di antara kamu beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka itu sehasta sahaja. Tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli syurga, maka ia masuk ke dalam syurga.” (Bukhari). Hadith ini memperingatkan kita bahawa tidak ada manusia yang dapat menjamin kesudahan yang baik bagi dirinya. Namun begitu dalam meniti saat-saat kematian, adakalanya Allah SWT menunjukkan kepada hambaNya tanda-tanda baik (”Husnul Khatimah”) atau tanda-tanda buruk (“su’ul khatimah”) dalam mengakhiri ajal seseorang. Sebab itulah kita diseru agar sentiasa berhati-hati supaya tidak terjerumus dengan godaan syaitan yang menggoda tidak kira masa sama ada ketika masih hidup di dunia atau semasa menghadapi sakaratul maut. Sesungguhnya mengingati dan menghayati erti kematian adalah satu motivasi diri yang terbaik supaya diri kita menjadi lebih insaf dan tidak leka dengan keindahan dunia yang hanya sementara ini.

 

 

Source: JAKIM

:: Bukan Salah Ibu Mengandung! ::

Hadith:

Dari Jabir r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda: ”Perumpamaanku dengan kamu sekelian ialah bagaikan seorang yang menyalakan api. Maka serangga-serangga berterbangan menjatuhkan diri ke dalam api itu. Padahal orang tersebut telah berusaha menghalaunya. Dan aku telah mencegah kamu semua agar tidak jatuh ke dalam api tetapi kamu meloloskan (melepaskan) diri dari tanganku.”

(Muslim)

Huraian:


Rasulullah s.a.w telah ditugaskan membawa petunjuk daripada Allah S.W.T dan kita selaku umatnya hendaklah menurut segala ajaran yang telah disampaikan itu kerana itulah satu-satunya jaminan kita akan terlepas daripada azab Allah di akhirat kelak dan juga mendapat keselamatan hidup di dunia. Sesungguhnya tiada jaminan yang lebih besar selain daripada mendapat perlindungan daripada Allah yang Maha Berkuasa. Meskipun dikatakan bahawa manusia itu tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa namun tentu ada caranya agar kita tidak terus bergelumang dengan perkara-perkara tersebut iaitu dengan sesegera mungkin kembali kepada kebenaran dan meninggalkan kebiasaan buruk sebelumnya. disertai dengan meminta keampunan dari Allah dan bertaubat. Oleh itu setiap manusia itu wajib menggunakan akal fikirannya untuk menilai manakah yang baik dan manakah yang buruk dan sentiasa memohon hidayah daripada-Nya agar ditetapkan hati dan jiwa mereka di atas jalan kebenaran kerana hidayah itu hanya akan singgah pada hati yang sentiasa mencarinya.

Source: JAKIM

:: Dari Anas. R.A. ::

Dari Anas r.a. berkata bahwa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.

2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.

3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.

4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.

5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.

6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.

7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya

8. Yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur’an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : “Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :

1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)

2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.

3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

:: Terhindar Dari Keburukan ::

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ سَمْعِيْ وَمِنْ شَرِّ بَصَرِيْ

وَمِنْ شَرِّ لِسَانِيْ وَمِنْ شَرِّ قَلْبِيْ وَمِنْ شَرِّ مَنِيِّيْ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu dari keburukan pendengaranku, kejahatan penglihatanku, keburukan lidahku, keburukan hatiku dan keburukan air maniku.

HR. Abu Dawud no. 1551, at-Tirmidzi no. 3492, an-Nasa’i VIII/259 - 260. Lihat Shahiih at-Tirmidzi III/166 dan Shahiih an-Nasa’i III/1108

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَمِلْتُ وَ مِنْ شَرِّ مَا لَمْ أَعْمَلْ

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung diri kepada-Mu dari keburukan apa yang telah aku kerjakan dan dari apa yang belum aku kerjakan.

HR. Muslim no. 2716 dan lainnya

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِيْ مُنْكَرَاتِ اْلأَخْلَاقِ، وَالأَهْوَاء،ِ وَاْلأَعْمَالِ، وَاْلأدْوَاءِ

Ya Allah, jauhkanlah aku dari berbagai kemungkaran akhlak, hawa nafsu, amal perbuatan dan segala macam penyakit.

HR. Al-Hakim I/532. Dishahihkan dan disepakati oleh adz-Dzahabi. Lihat Shahiih al-Adzkaar 1187 / 938

:: Kebajikan dan Dosa ::

Dari Nawwas bin Sam’an al-Anshari r.a katanya.”Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda baginda:”Kebajikan itu ialah budi pekerti yang indah. Sedangkan dosa adalah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, padahal engkau sendiri segan sekiranya perbuatanmu itu diketahui oleh orang lain.”

(Muslim)

1. Kebajikan adalah nilai luhur dari kehidupan sedangkan dosa bagaikan titik hitam yang merosakkan pandangan. Namun kadangkala disebabkan nafsu, iman menjadi buta sehingga seseorang itu cinta kepada dosa dan
menganggap bahawa segala sesuatu itu adalah wajar belaka.


2. Islam tidak memandang manusia bagaikan malaikat tanpa kesalahan dan dosa sebagaimana Islam tidak membiarkan manusia berputus asa dari memohon keampunan daripada Allah SWT, biar betapa besar pun dosa yang telah dilakukan itu. Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang maksudnya:” “Setiap anak Adam pernah berbuat kesalahan/dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah mereka yang bertaubat
(dari kesalahan tersebut).”


3. Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya menanggung dosa, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati sedangkan mati itu tidak mengenal ketika dan usia seseorang. Oleh itu kita dituntut supaya sentiasa beristighfar dan bersifat dengan sifat-sifat mahmudah serta malu untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang sehingga mencemarkan maruah diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Firman Allah: Yang bermaksud:

Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa. (Surah Al-Baqarah:177)

:: Kategori Mana Yang Tidak Dapat Menatap Wajah ALLAH? ::

16 Kategori Manusia Yang Tidak Dapat Menatap Wajah Allah

Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25

وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ

Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat. Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah. Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :

1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman :

إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَناً قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ)— آل عمران : 77

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

عن أبي مريم الأزدي رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (من ولي من أمور المسلمين شيئاً ،فاحتجب دون خلّتهم ،وحاجتهم ،وفقرهم، وفاقتهم، احتجب الله عنه يوم القيامة، دون خلّته ، وحاجته ، وفاقته، وفقره )
Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

3. Orang Tua yang Berzina

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا ينظر إليهم ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ ، وملك كذّاب ، وعائل مستكبر ) أخرجه مسلم

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:“Tiga orang yang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”

Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)

5. Orang miskin yang takabbur
6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.
في حديث ابي هريرة (……. ورجل منع فضل ماء ، فيقول الله : اليوم أمنعك فضلي ، كما منعت فضل مالم تعمل يداك
Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan
وعن أبي هريرة - رضي الله تعالى عنه - قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: ( ‏ ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة، ولا ينظر إليهم، ولا يزكيهم، ولهم عذاب أليم: رجل على ‏ ‏فضل ‏ ‏ماء ‏ ‏بالفلاة، ‏ ‏يمنعه من ‏ ‏ابن السبيل، ‏‏ ورجل بايع رجلا بسلعة بعد العصر، فحلف له بالله لأخذها بكذا وكذا فصدقه، وهو على غير ذلك، ورجل بايع إماما لا يبايعه إلا للدنيا، فإن أعطاه منها وفى، وإن لم يعطه منها لم يف ) متفق عليه.
Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ). Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya . Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)

8. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث) صحيح أخرجه أحمد والنسائي
Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:“Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii

9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال :قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث ) صحيح أخرجه أحمد والنسائي
10. Orang Lelaki yang Dayyuth
Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marahApabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.

11.Pengamal Budaya Kaum Luth

عن ابن عباس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (لاينظر الله - تعالى- إلى رجل أتى رجلاً ، أو امرأة في الدّبر ) صحيح اخرجه الترمذي

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi
12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan.

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاثة : ( لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولايزكيهم ، ولهم عذاب أليم ) فقالها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار ، فقلت : خابوا وخسروا من هم يارسول الله قال: المنان والمنفق سلعته بالحلف والمسبل ازاره ) اخرجه مسلم
Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali. Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk-nunjukan kekayaan ).Hadith di takhrijkan oleh Muslim

14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh atau

المسبل إزاره المختال في مشيته
“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”
15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم : المسبل إزاره ، والمنان ، والمنفق سلعته بالحلف الكاذب ) أخرجه مسلم في كتاب الإيمان

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :Tiga orang Allah tidak akan bertutur kata dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka dan untuk mereka disediakan azab yang sangat dahsyat… penjual yang melariskan barang jualannya dengan sumpah palsu.

16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( لاينظر الله إلى امرأة لاتشكر لزوجها وهي لاتستغني عنه ) صحيح أخرجه النسائي وصححه الالباني
Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”

:: Sakitnya Mati ::



Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan  kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah SWT. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak.

Kesakitan bila nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali. Walau bagaimanapun Nabi ada bersabda, maksudnya: “Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300x tetakan pedang.” Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300x tetakan.

Bayangkanlah sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya. Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut,malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu. Oleh itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya:-

Sebelum tidur:

1] Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali

2] Selawat ke atas Nabi

3] Membaca tasbih

Amalan harian:

1]  Sentiasa membaca Al-Quran

2]  Memelihara solat terutama solat fardu

3]  Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan

4]  Membaca tasbih

5]  Membanyakkan sedekah

6]  Sentiasa berzikir menyebut Allah

Amalan yang perlu dijauhi:

1]  Dusta

2]  Khianat

3]  Mengadu domba

4]  Kencing berdiri

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”

Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga. Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah.

Setelah di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya: “Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?” Jawab Nabi Idris: “Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya.” Kata malaikat maut: “Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah mati dengan keizinan Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu.” Kata Nabi Isa as: “Cubalah kamu pilihkan?” Mereka berkata:Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh).”

Maka Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut dan janggutnya sudah beruban. Nabi Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: “Saya telah mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab takutnya hari kiamat. Berkata Nabi Isa as: “Sudah berapa tahun kau meninggal dunia?” Kata Sam: “Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut.”

:: Rahsia! ::

Rahsia Iblis

Seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Anas b. Malik telah meriwayatkan satu hadis Nabi s.a.w yang menceritakan mengenai pertanyaan-pertanyaan iblis kepada Allah s.w.t tentang banyak perkara.

1. Iblis bertanya kepada Allah s.w.t: “Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu tempat tinggal, iaitu rumah untuk berzikir kepadaMu.Tunjukkanlah kepadaku tempat kediamanku.”Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai iblis! tempat kediamanmu ialah bilik air (tandas). “

2. Iblis berkata: “Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak adam itu tempat mereka berkumpul (masjid, surau) , dimanakah tempat bagiku berkumpul?.” Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai iblis! tempatmu berkumpul ialah di pasar-pasar, tempat-tempat hiburan (pusat membelibelah, kelab malam, pesta-pesta, majlis maksiat) dan sebagainya.”

3. Iblis berkata lagi:”Ya Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka anak Adam itu kitab untuk mereka membacanya. Tunjukkanlah padaku apakah bahan bacaanku?” Firman Allah s.w.t yang bermaksud:” Wahai Iblis, bahan bacaanmu ialah syair (sajak/lagu/ puisi yang melalaikan manusia dari mengingati Tuhan).

4. Iblis berkata:”Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan mereka cerita-cerita (kata-kata benar), apakah cerita-cerita bagiku?”. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: ” cerita-cerita bagimu adalah kata-kata dusta ( bohong atau yng berkaitan dengannya)”

5. Iblis bertanya lagi: “Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan azan kepada anak Adam untuk mengajak atau mengumpulkan orang datang bersembahyang berjemaah, apakah azanku untuk mengumpul orang?”. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “wahai iblis, azan untukmu ialah seruling.”

6. Tanya iblis lagi:”Ya Tuhanku! Engkau telah mengutus para utusanmu (para nabi dan rasul) kepada anak Adam, siapakah yang menjadi utusan bagiku?”. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:” Wahai iblis para utusanmu ialah terdiri dari dukun (peramal nasib), ataupun yang lebih kurang sama dengannya.”

7. Kata iblis:”Ya Tuhanku! Engkau telah berikan kitab bertulis (ayat-ayat Al Quran) kepada anak Adam. Apakah tulisan bagiku? .” Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “wahai iblis, tulisanmu adalah tulisan gincu yang palsu dibadan, (seperti gincu, tatu, tahi lalat yang diada-adakan dan yang lebih kurang sama dengannya)

8. Kata iblis: “Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan kepada anak Adam itu perangkap-perangkap . Apakah perangkap bagiku?.” Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “wahai iblis, perangkap untukmu ialah wanita-wanita “

9. Kata iblis: “Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan makanan kepada anak-anak Adam (yang disebutkan namaMu), apakah makanan untukku?.”Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “wahai iblis, makanan untukmu ialah sesuatu yang tidak disebut nama Allah.”

10. Kata iblis:”Wahai Tuhanku! Engkau telah memberikan minuman kepada anak-anak Adam, apakah minuman untukku?” Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai iblis, minuman untukmu ialah sesuatu yang memabukkan dan yang tidak dimulakan dengan nama Allah.”

Next entries »