Archive for October, 2009

Oct 28 2009

Profile Image of martinelli
martinelli

Kasih ayah seluas lautan.

Filed under Keluarga, kemanusiaan, motivasi

Waktu berumur 11 tahun saya pernah bertanya pada ayah, “Abah, kenapa kita tak ada rumah macam orang lain?”

Ayah tidak menjawab soalan saya secara langsung. Beliau cuma berkata, “Li, belajarlah rajin2 supaya masuk universiti. Abah tak ada harta untuk ditinggalkan.”

 

Kesedihan di wajah ayah hanya ditutup dengan hirupan air kopi panas sambil meneruskan lukisannya. Ayah saya seorang pelukis kecil-kecilan. Dengan hasil jualan lukisan ayahlah dapat mengalas perut kami sekeluarga.

 

Di hatinya Allah saja yang tahu bagaimana inginnya beliau membahagiakan kedua-dua anaknya dengan rumah yang sempurna tetapi tiada kemampuan. 

 

Kesakitan yang ditanggung beliau akibat terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anak selama hampir 10 tahun sudah cukup berat. Kata ibu Ayah meninggalkan ibu sejak saya dalam kandungan lagi.  Dengan  rahmat Allah usaha keras ibu melakukan ‘jejak kasih’ akhirnya kami ditemukan dengan ayah yang berada dalam keadaan susah. Pelukan ayah sewaktu pertama kali bertemu bersama linangan air mata masih terasa hangatnya. Itulah pertemuan pertama dengan ayah sejak saya lahir ke dunia.

 

Dengan suarra teresak-esak masa itu ayah berkata, “Lepas ini kita takkan berpisah lagi. Susah senang kita akan hidup bersama. Di sini tempat abah, kita tinggal saja di sini.”

 

Bermulalah kehidupan kami di Kg. Baru, Kuala Lumpur. Saya menyaksikan peritnya ibu dan ayah membina semula kehidupan keluarga dengan pendapatan yang  kecil di tengah2 kota. Miskin di kampung sekurangnya2 ada pucuk paku yang boleh dipetik tetapi miskin di bandar semuanya bersandar pada wang.

 

Kami menumpang tinggal di sebuah kedai. Loteng kedai ditebuk menjadi tempat tidur beralaskan papan yang disusun menjadi lantai. Ia sangat panas waktu siang kerana bumbung zing yang dibakar matahari secara langsung tanpa ada apa2 lapisan penahan panas. Tidur hanya boleh selepas malam berlabuh atas papan tidak bertilam dan waktu pagi apbila matahari sudah naik perlu cepat2 turun sebelum kepanasan.

 

Sekitar kediaman kami yang berhimpit2 itu dipenuhi sampah sarap termasuk jarum2 suntikan penagih dadah yang berselerakan di sana-sini. Waktu kecil pernah saya mengambil salah satu darinya  untuk dijadikan mainan ‘doktor-doktor’ tanpa mengetahui jarum apa sebenarnya.

 

Tidak ada paip air tersedia apalagi bilik air dalam rumah seperti orang lain. Air keperluan memasak terpaksa diambil dengan baldi dari bilik air awam yang dikongsi dengan berpuluh-puluh keluarga. Usah ditanya bagaimana rupanya bilik air awam ditengah kediaman setinggan yang tidak ada penjagaan. Demi mencari ‘privacy’, maka waktu malamlah jadi pilihan ibu untuk menguruskan diri dan mencuci pakaian di bilik air itu.

 

Semasa melatih diri di zaman awal remaja untuk solat tahajjud saya membawa air dan disimpan baik2 untuk wudhu tengah malam. Dalam kepala  terbayang betapa senangnya orang kaya untuk bertahajjud dengan adanya bilik air sendiri.

 

Pada waktu itu dalam pandangan anak kecil ini orang yang ada rumah itu adalah orang kaya. Orang yang ada radio itu orang kaya. Orang yang ada tv lagi kaya dan orang yang ada kereta itu teramat kaya kerana kami tidak memilikki semua itu.

 

Sehingga ke hari ini saya masih menyesal menanyakan soalan itu pada ayah. Sejak itu saya berjanji dalam hati tidak akan menanyakan soalan itu lagi dan bertekad akan membeli sendiri rumah dan membawa ibu dan ayah tinggal bersama apabila saya besar nanti. Saya akan pastikan ayah dan ibu tidak perlu lagi pergi ke bilik air awam atau mengangkat air pulang dengan baldi setiap hari. Mereka akan mandi sepuas-puasnya bila2 masa mereka suka tanpa memikirkan waktu siang atau malam dan ‘privacy’ mereka terjamin tanpa gangguan. Ibu tidak perlu membawa air ke rumah untuk wudhu’ solat tahajjud.

 

Bunga dari kulit kerang, bunga dari beg plastik

 

Biasanya selepas pulang sekolah dan selesai solat zohor saya akan duduk memotong beg2 plastik dan menggubahnya menjadi bunga untuk dijual. Orang membeli mungkin kerana kasihan melihat tangan kecil saya menyusun bunga2 itu.

 

Dalam hati saya kadang2 bertanya bagaimanakah agaknya rasanya pulang sekolah dapat bermain sepuas-puasnya tanpa perlu mencari duit untuk membantu keluarga.

 

Sewaktu ayah terbongkok2 mengutip kulit kerang yang dibuang di belakang restoran, orang memandang hairan apalah yang dilakukan ayah. Kulit kerang itu juga menjadi sumber pendapatan kami. Saya dan ayah mencuci kulit kerang kemudian dikeringkan, dicat dan saya menggubahnya menjadi bunga untuk dijual di pasar malam. Kata ayah saya ada tangan seni macam beliau.

 

Hidup dalam banjir

 

Setiap kali hujan turun rumah kami akan dilanda banjir kilat. Saya akan disuruh ayah duduk di atas meja menyiapkan kerja sekolah sedangkan ayah dan ibu bertungkus-lumus membersihkan tempat tinggal kami dari air banjir. Pernah suatu ketika banjir begitu dalam sehingga ke paras dada ayah. Ayah mengikat beberapa papan dijadikan rakit untuk menyelamatkan kami. Dengan penuh kasih sayang ayah mengharung banjir menolak rakit yang saya naiki dengan ibu sehingga ke tempat selamat. Masih terbayang bagaimana ayah menggigil kesejukan demi keluarga tercinta. Seluruh lukisan dan barang2 jualannya habis dihanyutkan banjir dan kami hanya tinggal sehelai sepinggang selepas itu.

 

Ramai orang datang melihat kami mangsa banjir seperti melihat bahan pameran. Mereka cuma berkata “Kesiannya”.

 

Dalam hati saya berkata kalaulah saya kaya macam mereka saya tidak akan menyebut “kesiannya” di depan orang miskin macam kami.

  

Masa berlalu dengan pantas. Kegigihan ayah memastikan saya belajar dengan baik supaya berjaya masuk ke universiti tidak dapat saya gambarkan dengan tulisan. Masih terbayang bagaimana airmata ayah berguguran melihat keputusan spm saya. Dia sendiri yang pergi mengambilnya di sekolah. Sebulan kemudian airmatanya berguguran lagi ketika saya menerima tawaran belajar ke luar negara. Demi kasih pada ayah saya katakan saya akan belajar di Malaysia saja, di Universiti Malaya seperti kakak. Saya tahu ayah tidak sanggup berpisah dengan anaknya lagi. Ayah tersenyum, senyuman bangga seorang ayah yang bertungkus-lumus menyelamatkan kehidupan anaknya2 ditengah-tengah masyarakat yang bergelumang dengan dadah akhirnya berjaya mencapai impiannya.

 

Selepas beberapa tahun impian ayah menjadi kenyataan dan tekad saya sudah mencapai puncaknya. Sebuah rumah yang ada bilik khas untuk kedua mereka sebagaimana yang saya impikan sudahpun terbina. Tapi sayangnya ayah menemui Allah lebih awal sebelum beliau sempat melabuhkan tapak kakinya di rumah itu.

 

Sudah lapan belas tahun Ayah hilang dari mata, namun pengajaran hidup bersama beliau tidak mungkin hilang buat selamanya2.

 

Ayah dan ibu mengajar saya tentang erti setia dan kasih sayang tidak bersyarat yang perlu ada dalam keluarga.

Ayah mengajar saya erti sabar dalam kekurangan, menghargai nikmat Allah walau sekecil apapun.

Ayah mengajar saya bahawa impian yang benar itu tidak mustahil dicapai.

Ayah mengajar saya jangan lupa diri kerana semua yang ada itu hanya milik Allah.

Ayah mengajar saya bahawa nasib malang itu bukan untuk ditangisi berhiba-hiba tetapi untuk dijadikan pemangkin bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna.

Ayah dan ibu meyakinkan saya di setiap kesulitan itu pasti ada kesenangan.

Peritnya kehidupan mengajar saya 

yang miskin jangan dihina yang kaya usah disanjung, yang berkuasa usah dijulang.

Kisah suka-duka bersama ayah mengingatkan saya jangan biarkan masa berlalu tanpa berbakti pada orang tua, takut nanti tidak sempat melakukannya dan Allah memanggilnya ditengah kelalaian kita.

12 responses so far

Oct 26 2009

Profile Image of martinelli
martinelli

Perginya Dr. Zaiunuddin Jaafar, Hilangnya Sebutir Bintang

Filed under Uncategorized

Menjejakkan kaki di rumah selepas mengikuti misi kemanusiaan di Semporna,  Sabah, suami saya menyambut dengan berita sedih,  sahabat kami Dr. Zainuddin Jaafar telah kembali ke rahmatullah setelah sekian lama berada dalam keadaan koma di Hospital Brunei. Allah menjemput beliau dengan rahmah dan kasih sayang yang sudah tentu mengatasi seluruh kasih sayang orang2 yang menyayangi beliau. Semoga roh beliau ditempatkan bersama roh-roh para solihin. Semoga isteri beliau, Naimah, anak2 dan seluruh keluarga beliau dapat bersabar menghadapi dugaan Allah ini.

Kehilangan beliau merupakan kehilangan sebutir bintang dalam dunia keilmuan undang2 Islam. Seorang yang gigih mengembangkan ilmu untuk pelajar2 di UIA, KISDAR dan Universiti Brunei buat sekian lama. Kini beliau meninggalkan anak2 didik yang menfaatkan ilmu yang diajarkan. Masya Allah, bertuahnya beliau.

Kenangan bersama sdr Zainuddin, seorang sahabat karib sejak zaman mahasiswa sehingga sama2 bertugas di UIA mula datang satu persatu. Semasa suami saya kesusahan di perantauan beliaulah di antara sahabat2 akrab yang bertungkus-lumus membantu menghulurkan sumbangan. Beliau yang rajin menziarahi kawan2 dan meraikan dengan sebaik-baiknya apabila dikunjungi. Pernah kami dengan 5 orang anak2 yang masih kecil sampai di rumah beliau di Edinburgh, Scotland dalam cuaca teramat sejuk dengan curahan ribut salji jam 2 pagi, namun beliau dan isteri masih masih tidak tidur bimbang dengan keadaan kami. Apabila sampai, kami terus dihidangkan dengan nasi dan lauk kari yang paling sedap pernah saya rasa.

Beliau pergi meninggalkan anak2 yang hebat kerana beliau dididik oleh ayah ibu yang sangat hebat. Kehebatan keluarga Pakcik Jaafar mendidik begitu ramai anaknya2 menjadi profesional menjadi sumber inspirasi kepada ramai orang. Semoga anak2 Allahyarham terus berjaya sebagaimana harapan ayah tercinta.

Alfatihah.

3 responses so far

Oct 03 2009

Profile Image of martinelli
martinelli

TABUNG GEMPABUMI PADANG, SUMATERA

Filed under kemanusiaan

Dunia dikejutkan lagi dengan bencana alam banjir besar, tsunami, ribut dan gempa bumi.

Pagi ini saya terus memohon kebenaran rektor untuk menggerakkan tabung kemanusiaan bagi membantu saudara2 kita terdekat di Padang yang menjadi korban gempa bumi. Saya meminta pelajar2 Indonesia UIA membantu menjalankan kutipan di Masjid waktu solat Jumaat dan semasa Shawal gathering di CAC. Dalam masa yang pendek kita berjaya mengutip sebanyak RM3,800.00. Insya Allah duit itu akan diserahkan kepada mangsa yang akan dibawa sendiri oleh salah seorang pelajar yang akan ke sana pada hari Ahad ini.

Tabung ini akan diteruskan. Sesiapa yang ingin menderma bolehlah menyediakan duit kerana pelajar2 ini akan pergi ke pejabat2 membawa tabung yang ada logo CENSERVE dan salinan surat rektor. Anda boleh jiuga menghubungi pejabat kami melalui tel: 03-6196 4085

2 responses so far

FireStats icon Powered by FireStats