Jun 18 2009
Maafkan Cikgu
Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Sebuah kisah yang saya paparkan ini saya ulangi dari kisah benar seorang guru beberapa tahun yang lalu.
Ceritanya:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah2 bandaraya Kuala Lumpur. Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.
Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata2 kecuali anggukkan yang seolah2 dipaksa. Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi. Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat.
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah. Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari2 sekuat hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
“Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju tadi?”
Dia terkejut dan wajahnya berubah.
“Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu.” Jawabnya
“Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja cikgu pukul kamu?”
” Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu, “Maafkan cikgu, …….”
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba membantunya setakat yang mampu.
Cerita2 begini membantu melembutkan hati yang keras. Kata seorang guru, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara2 berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah
22 responses so far

Puan..
Alhamdulillah..
Disebabkan teruja membaca blog Puan..
Saya menelusuri semua hasil nukilan Puan malam ni semuanya dari mula hingga terkini..
Amat bermakna dan berhikmah ilham rasa nukilan jiwa Puan.
Tahniah..Teruskan menulis di blog..Cetusan yang memberi Inspirasi di jiwa. Semoga usaha murni ini diberkati Ilahi..Amin.
Puan..
Alhamdulillah..
Dalam mencari bahan di internt
Syukur sangat saya temui blog Puan.
Disebabkan teruja membaca blog Puan..
Saya menelusuri semua hasil nukilan Puan malam ni semuanya dari mula hingga terkini..
Amat bermakna dan berhikmah ilham rasa nukilan jiwa Puan.
Tahniah..Teruskan menulis di blog..Cetusan yang memberi Inspirasi di jiwa. Semoga usaha murni ini diberkati Ilahi..Amin.
Salam Puan,
Cerita puan ini mengingatkan saya kepada watak Lintang dalam filem dan novel Laskar Pelangi.Saya terharu bagaimana seorang anak kecil berbasikal sejauh 80 kilometer setiap hari untuk mencari ilmu.
Ia juga mengingatkan saya kepada pengalaman yang sama oleh Cikgu Sidek Baba dalam memoirnya yang saya pernah baca dahulu.
Saya juga mengimbau kenangan semasa saya kecil sewaktu belajar di sekolah kampung di Kuala Lipis,Pahang.Bapa saya ketika itu ialah guru besar di situ.Setiap hari,sekumpulan anak-anak dari sebuah estet (Estet Budu,Batu 11,Jalan Benta - Kuala Lipis) pasti sampai lewat di sekolah dengan menaiki bas sekolah yang agak usang.Namun mereka tidak pernah didenda kerana lewat hadir.
Pernah sekali,bapa saya membawa saya melawat estet berkenaan pada suatu petang.Dari persimpangan jalan besar, kami terpaksa memandu berhati-hati di atas jambatan gantung.Kemudian,kami beberapa kali tersesat di dalam ladang kelapa sawit untuk sampai ke kawasan perumahan pekerja di dalam estet berkenaan.Jalannya jalan tanah merah dan agak jauh ke dalam.
Bapa saya memberitahu saya,setiap hari persekolahan,anak-anak ini akan bertolak sekitar pukul 5 pagi setiap hari dengan menaiki bas usang itu dan hanya akan sampai di sekolah pada pukul 7.45 pagi.Anak-anak itu bersusah payah setiap hari untuk bersekolah.
Aduh!Baru saya tahu betapa susahnya mereka untuk datang ke sekolah setiap hari.
cerita ni lebih kurang macam cerita children of heaven, sebuah filem Iran yg mengisahkan adik dan abangnya yang berkongsi kasut sekolah.kalau puan belum tengok lagi..amatlah digalakkan utk melihatnya..
sebagai guru yang mengajar di kampung, banyak kisah benar yang saya temui…sebelum ini kita cuma melihat kisah-kisah sebegini dalam drama di tv, tetapi sebenarnya diluar sana masih banyak kisah2 masyarakat yang tak terfikir oleh kita walaupun negara telah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan…
Saya belum pernah dengar kisah nie. Terharunye baca. T__T
salamullah alaiki wahai bunda..
guru..rasanya di dunia ni, selain orangtua sendiri, guru termasuk orang yang paling berjasa.
ini merupakan pekerjaan yang paling bersih dari korupsi. walau gajinya tak seberapa, namun jasanya sungguh luar biasa. tanpa guru, siapalah kami..
salam… sebagai guru, walaupun mereka terikat dengan peraturan, dan memastikan displin diikuti, harus lah selidik dengan sehalus2nya sebelum menjatuhkan hukuman… peristiwa sebaliknya kadang-kadang menjadikan kita lebih insaf dan bersemangat utk membantu anak-bangsa yg inginkan ilmu.
salam,saya pernah melihat kisah yang pasal adik dan abang berkongsi kasut tu.tapi bukan iran,ia diterbitkan oleh television singapore.Mengisahkan pelajar cina yang sangat susah hidupnya,tapi penggambaran dibuat di Malaysia.. dan siarannya pada ketika itu ditayangkan di siaran tv malaysia,beberapa tahun dahulu.kisah yang sangat menyayat hati..
salam…..
cerita yg sedih dan menyayat hati…
akan saya ambil iktibar dari kisah ini…
emmm….xder org tlg beli baju n kasut ….kesian ……kalo ada org siarkan nama leh gak tlg….cuma takut gak ada org siarkan akaun palsu….duit masuk tp bukan utk budak2 tu kt org lain……
Assalamualaikum..
Terima kasih kak Nelli, perkongsian yang segar.
Menjadi di pendidik di Kg Sawah Sempadan amat banyak mengajar saya erti kasih sayang kepada manusia dan berbakti kepada masyarakat.Cerita kisah hidup suka duka kehidupan anak-anak kampung sesungguhnya memang banyak mengajar guru erti kesabaran dan empati yang tinggi.
Mereka insan yang memerlukan perhatian.Sensitif kadang-kadang.Tapi hormat pada guru jika guru hormat kepada mereka.
Sememangnya pengalaman bersama membangun SENDI AS-SYARIF CENSERVE di bawah bimbingan Kak Nelli memberikan saya persediaan untuk bersama dengan masyarakat.Saya bersyukur kerana pernah mengenali CENSERVE dan berada di bawah didikan Kak Nelli sendiri.Hidup di tengah masyarakat desa amat memerlukan daya keperihatinan terhadap gaya hidup dan adat budaya melayu tidak kira bangsa melayu, jawa mahupun banjar.
Jadi, silakan aktivis CENSERVE ke Kg Sawah Sempadan atau berbakti untuk anak murid saya di SK Sawah Sempadan.Mereka dahagakan motivasi dan suntikan semangat daripada mahasiswa/i Taman Ilmu dan Budi..
Teruskan membangun modal insan.
Menabur bakti menyemai budi..
Ruzain Syukur b Mansor
019-2103267
http://www.akademipenulisbebas.wordpress.com
ruzainsyukur_mansor@yahoo.com
Tahniah, Ruzain, semangat yg masih segar. Banyaknya pengalaman yg Ruzain dah lalui…dari pensyarah kepada penulis dan sekarang jadi guru yg berdedikasi.
Mahdarina,
Kadang2 kita akan bertemu keadaan sebegini untk menguji nilai keinsanan mita.
Beautyroses,
Rasa terharu iru menunjukkan kita manusia sebenar.
Azhar,
Mungkin cerita2 begini banyak berlaku di mana2. Kemanusiaan itu tidak ternilai harganya
orgkg
pendapat anda memang tepat sekali.
wildan,
waktu kita kecil kita jadi murid. Setelah dewasa kita perlu menjadi guru samada sacara langsung atau sebaliknya kerana ilmu yg sudah kita terima wajib disebarkan.
jai
Jai rasa terharu sebab jai pun selalu membantu orang.
Ustazah Marziana, teruskan membawa misi CENSERVE
Yeop,
cerita iran itu memang terkenal dan dapat anugerah filem.
Iskandar
saya juga berjalan kaki sejauh 5km untuk ke sekolah waktu kecil dulu kerana kemiskinan keluarga. Pengalaman kita mellihat kehidupan yg begini membuat kita punya citarasa yg sama dalam aktiviti kemasyarakatan.
exinstedians stud
Selamat berkenalan. semoga ianya ada manfaatnya.
salam perjuangan… salam Ramadhan….
tahniah atas usaha yang berterusan ini…
Terima kasih kerana pernah menyentuh hati saya dan memberi didikan dalam kerja-kerja dunia dakwah dan kemanusiaan.
Radin (engineering; UIAM 2000-2004) @ KARISMA and SRC 2003
Puan,
Saya amat bersimpati dengan cerita ini. Jika saya ingin menghulurkan bantuan, bagaimana kah caranya?.
sangat menarik dan menyentuh jiwa.
subhanallah
[...] Petikan daripada http://blogs.iium.edu.my/martinelli/2009/06/18/maafkan-cikgu/ [...]
berapa ramai yang macam tu.
Zaman sekarang ni ramai murid yang sanggup menipu
janji terselamat dari hukuman.
Kepada guru guru wajib selidik dahulu sebelum jatuhi hukuman
tetapi kalau benar murid bersalah dan berterusan melakukan kesalahan, jangan pula ibubapa bermatian matian mempertahankan anak mereka.
banyak contoh anak yang hancor kerana terlalu dimanjakan misalnya filem anak ku Sazali.
guru yang gila saja akan memukul anak muridnya tanpa sebab musabab
salam nelli, sekali lagi saya rasa terharu membaca kisah ini, menitis air mata…. saya mempunyai anak murid yang ramai tetapi belum lagi berjumpa pelajar yang begini atau mungkin saya yang tidak perihatin….InsayaAllah sebelum mendenda anak murid saya , saya akan berfikir dahulu, tetapi saya jarang denda mereka hanya sekadar menasihati, kisah ini akan saya cerita kan kepada mereka kelak untuk menjadikan iktibar…..
Salam cikgu, saya harap cikgu dapat memberi maklumat semoga saya dapat membantu murid tersubut. sila hubungi saya melalui email tersebut. Wassalam
semalam yang berlalu
19 JULAI 2010
Sedang lena aku di buai mimpi kerana keletihan seharian menjalankan tugasku,aku di kejutkan dengan panggilan dari telefon bimbitku. Seorang bapa menghubungiku dan meyatakan bahawa akan berlakunya sesuatu yang buruk pada malam ini dimana ia melibatkan anaknya. Lantas aku bangun dari tidurku dan berbincang bersama rakan seperjuanganku. Pelajar itu dipanggil dan kami telah bersedia. Seperti biasa aku melakukan aktiviti seharianku sehingga aku terlupa akan perkara buruk yang bakal berlaku. Saat-saat aku hampir melelapkan mataku untuk menjelang hari esok pintu rumahku diketuk oleh seorang pelajar yang padaku adalah wira, perkara buruk itu benar-benar berlaku. Dengan pantas aku dan rakanku berkejar ke dorm terbabit, hatiku benar-benar kecewa melihat 4 orang pelajar senior mengepung dorm itu sedang di tengah-tengahnya berdiri seorang budak kecil yang menggigil ketakutan,tersedu-sedu menahan kesakitan akibat pukulan yang tidak sempat aku saksikan. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana dia menahan ketakutan,kesakitan yang dialaminya. Mungkin jika aku terlambat hanya beberapa saat lagi…sukar untuk digambarkan kemungkinan apakah yang akan berlaku. Lantas ku peluk pelajar junior itu dan kubawa ku rumahku,manakala keempat-empat pelajar senior itu ku panggil ke rumahku. Kuperiksa tubuh kecil pelajar junior itu,masih segar lagi kesan lebam merah dibadanya dan hanya dia sahaja yang dapat merasakan kesakitan itu. Jauh di hati kecilku sungguh tersentuh melihatnya,andai dapat kesakitan itu dipindahkan biarlah aku yang menanggungnya. Rakanku dengan lantas melakukan soal siasat mengikut prosedur biasa jika berlakunya sesuatu seperti ini.
Kesabaran setiap orang ada batasanya, aku masih lagi boleh mengawal emosi namun tidak bagi rakanku, terdetik di hatiku mereka layak untuk menerimanya. Aku tidak mempunyai kekuatan untuk mengendalikan hal ini, mahu tidak mahu aku terpaksa menghubungi pihak pentadbir sekolah walaupun berat hatiku kerana jam menunjukkan pukul 12 tengah malam tetapi mereka lebih mengetahui apakah yang perlu dilakukan. Sehingga jam tiga pagi siasatan berlangsung. Mataku sudah hampir tertutup namun aku gagahkan untuk terus bertahan kerana menghormati pihak pentadbir dirumahku. Selesai sahaja sesi itu,aku terus menuju ke bilik ku, tetapi hatiku kali benar-benar sayu hingga air mataku tanpa disedari menitis, kulihat pelajar junior itu tidur dengan air mata yang masih basah di pipinya seperti menahan kesedihan. Lantas ku ambil selimut perlahan-lahanku ku sapu di pipinya dan ku litupi tubuhnya yang sedang tidur di atas katilku……..
Sepanjang minggu , pelajar junior itu tinggal bersamaku. Ku jaga makan minum pakai dan segalanya kulayan seperti anak ku sendiri walaupun aku tidak pernah merasa sebarang pengalaman menjadi seorang bapa. Namun sejak aku di tempatkan untuk bertugas di sini, banyak perkara yang telah merubah diriku dari segi pemikiran serta karakterku sekaligus mematangkan aku dalam menempuh hari-hariku sebagai ibu bapa kepada anak- anak di sini. Sepanjang dua hari bersamaku, aku sedaya upaya membina semula keyakinan pelajar junior itu. Aku boleh merasakan ada perubahan terhadap dirinya. Namun panas kusangka sampi ke petang, gerimis pula di pertengahan, masih ada lagi pelajar senior lain yang berani menyentuh dan menarik pelajar junior ini sedangkan mereka tahu bahawa pelajar ini sedang di kuarantin bersamaku. Semangat pelajar junior itu kembali ke paras negative. Aku juga pening memikirkan apakah lagi yang harus aku lakukan untuk menjamin keselamatanya. Aku boleh membaca apa yang difikirkan oleh pelajar junior itu, tidak lain dan tidak bukan lagi dari bertukar ke sekolah lain dan tinggal bersama keluarganya. Namun jika itu adalah yang terbaik aku relakan.
23 julai 2010
Hari ini semua ibu bapa penjaga pelajar yang terlibat dalam kes ini di panggil untuk bersemuka di sekolah. Jam menunjukkan pukul 9 pagi, waktu yang selalunya aku berada di kantin untuk mengalas perut. Ketika baru hendak menjamah hidangan telefonku berbunyi, pihak pentadbir mengarahkan ku masuk ke bilik mesyuarat. lantas ku segerakan suapanku dan ku tinggalakan tanpa sempat dihabiskan. Langkah ku berlalu dengan pantas menuju ke bilik mesyuarat. Sebaik daun pintu kuselak, dapat kulihat semua ibu bapa dan pelajar yang terlibat berkumppul dalam suasana yang cukup sunyi dan dingin. Pengetua memulakan susun atur bicara beliau dengan berhati-hati. Lantas dibaca semula rentetan peristiwa satu persatu dengan jelas supaya situasi keadaan yang berlaku dapat dipahami oleh semua yang berada didalam bilik ini. Dapat kurasakan suasana yang agak menyentuh perasaan mula menyelubungi atmosfera.
Kemudian bapa kepada pelajar junior itu di beri peluang untuk meluahkan segala apa yang terkandung di benak kalbunya. Ayat-ayat pelindung kepada seorang anak disusun kemas bicaranya supaya tidak mengguris mana-mana pihak. Dalam pada itu, ibu pelajar junior ini juga megambil kesempatan melepaskan segala yang terpendam dalam hatinya, antara tutur-tutur yang masih ku ingat sehingga kini berbunyi….” cuba bayangkan ibu mana yang tidak risau memikirkan anak yang berada dalam ketakutan, pukul 12 malam menelefon ibu dan mengatakan ibu saya takut dan kemudian tidak kedengaran suara hanya sahutan nafas kemudian anak ini mengatakan ibu saya tidak tahan lagi,saya boleh jadi gila dan lantas ibu membalas …nak jika di takdirkan malam ini adalah malam terahkirmu pergilah berjumpa wardenmu dan jika tuhan telah tentukan kamu tidak ada lagi di dunia ini kamu pergilah dengan berani” aku sungguh tersentap dengan luahan ibu ini sehingga titisan jernih dimataku berguguran. Aku sedar yang aku sebenarnya gagal memberi perlindungan kepada anak-anak di bawah jagaanku, aku sungguh tersentuh.
Setiap ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sini mengharapkan akan segala perkara baik terhadap anak-anak mereka namun sebalinya berlaku. Aku selaku orang yang paling bertanggungjawab disini gagal menjalankan amanah yang diberi. Andai boleh ku undurkan masa akan ku lindung setiap dari anak-anak ini supaya mereka tidak berasa terancam,ketakutan tinggal untuk tinggal di sini namun aku hanya manusia biasa yang lemah. Mungkin dalam kesibukkan mengurus segala hal yang berkaitan disini aku banyak terlepas pandang. Bukan mudah bagiku serta rakan seperjuangku yang lain untuk menjaga anak-anak yang lebih dari dua ratus orang bilanganya. Kemudia ibu bapa pelajar senior yang terlibat di beri peluang untuk meluahkan apa yang terkandung di fikiran mereka…tiada ungkapan lain selain kata-kata maaf ditujukan kepada ibubapa pelajar junior dalam suasana yang cukup hiba. Ketika ini dapat kudengar esak tangis semua pelajar terlibat. Sekali lagi aku gagal mengawal emosi lantas beguguran lagi air jernih dari mataku mendengar suara ibu-ibu pelajar senior dalam esakan linangan air mata memohon kemaafan dari keluarga pelajar junior itu. Sesekali aku menjeling kearah pengetuaku, dapat kulihat naluri keibuanya juga tersentuh sehingga beliau sendiri juga megesat linangan air matanya yang jatuh. Pada ahkir sesi pertemuan ini hukuman yang dijatuhkan di bacakan dan kemudian sesi bersalaman di mulakan…sukar digambarkan perasaan ku ketika ini..hatiku benar-benar terusik,tersentuh dan hanya tuhan sahaja yang tahu bagaimana sayunya hatiku melihat semua yang berada di sini dengan mata yang tidak kering di genangi air mata…
Keputusan pelajar junior ini untuk berpindah sekolah,sangat-sangat memberi tamparan yang hebat kepada diriku, walaupun ibubapanya tidak menyalahkan aku atas segala yang berlaku namun aku sungguh kesal kerana aku adalah orang yang paling bertanggunjawab memberi perlindungan kepada semua anak-anak disini namun aku GAGAL……seharian perasaan ku terganggu memikirkan hal ini sehingga aku merasa tawar hati untuk melakukan tugasku sebagai seorang warden….sungguh aku tidak mampu untuk meneruskan amanah yang ku pikul ini….aku juga memerlukan masa dan ruang untuk diriku. Jauh di sudut hatiku..aku tidak pernah menyalahkan semua pelajarku yang terlibat…pintu kemaafan ku sentiasa terbuka untuk kamu semua…jadikanlah ia sebagai satu pengajaran yang bermakna. Kepada pelajar junior itu kuatkanlah semangatmu perjalanan kau masih jauh lagi….kuatkan diri….semoga tuhan berikan aku kekuatan untuk meneruskan langkahku di kemudian hari….
Cikgu Feer,
Terima kasih dengan perkongsian cerita cikgu. Pahala bagi pendidik yg ikhlas tidak akan terputus kerana ajarannya yg terus diamalkan oleh anak2 murid akan meraih pahala utk gurunya. Teruskan perjuangan cikgu