Aug 31 2010

martinelli

Apa hadiah yang ibu inginkan?

Filed under Keluarga, Pendidikan

Pada tarikh ini 31 Ogos, setengah abad yang lalu mungkin saja menjadi kenangan pahit dan manis yang tidak dilupakan oleh ibu sewaktu melahirkan saya. Pahit kerana saya lahir ke dunia dalam keadaan ayah yang jauh diperantauan tanpa khabar tanpa berita. Pahit juga kerana sehari selepas saya dilahirkan kakak saya yang berumur 4 tahun meninggal dunia. Manisnya kerana kehilangan kakak diganti dengan kelahiran saya. Kata ibu ayah adalah mangsa fitnah dan kejahatan manusia yang menyebabkan kami anak-beranak terputus hubungan selama 10 tahun. Namun dengan rahmat Allah kami ditemukan kembali dan mengharungi hidup di bumi bertuah ini. Kasih sayang ibu dan ayah adalah hadiah yang sangat besar dari Allah. Ayah pergi menemui Tuhannya buat selamanya2 setelah memberi segalanya2 untuk membolehkan anaknya berjaya hidup seperti orang lain.

Ibu masih sehat  membelai cicit kesayangannya setiap hari.

Dalam usia 81 tahun, kasih ibu masih seperti dulu. Masih terasa  kulit tangannya yang lembut membasuh muka saya setiap pagi waktu kecil di kampung. Tangan itu juga yg mengasuh 12 orang cucu yang sekarang sudah besar belaka. Kini tangan yang sama masih gigih mendokong cicit dan membasuh mukanya setiap pagi. Wajahnya berseri2 apabila si kecil meraba2 muka moyangnya sambil mengeluarkan suara manja. Saya dapat merasakan itulah diantara kemuncak kebahagiannya kini.

Besarnya nikmat Allah. Saya dianugerahkan seorang ibu yang masih sudi tinggal bersama saya sehingga diusia senjanya sekarang. Itulah hadiah harijadi yang paling mahal harganya yang diberikan ibu. Untuk semua itu saya hadiahkan ibu dengan seribu ketaatan dan ibu tidak pernah dan tidak akan pernah mendengar kata2 kasar dari saya mulut saya, IsnyaAllah…. tekad yang terbina sejak kecil dulu dan saya pegang hingga ke hari ini.

Saya dianugerahkan Allah dengan suami yang masih sudi mengiktiraf saya sebagai isterinya walau dia sedar akan serba kekurangan yang ada pada saya ditengah2 kelebihan wanita2 lain yang beliau mampu milikki kalau beliau mahu.

Saya dianugerahkan Allah untuk dapat mendidik anak2 yang menjadi permata hati yang masih taat kepada nasihat ibu  dalam seribu peluang untuk melakukan kejahatan kalau mereka mahu.

Dengan curahan rahmat Allah  saya dianugerahkan dua orang menantu yang sangat menyejukkan mata dan hati.

Kepada anak2 ibu yang bertanya apa hadiah hari jadi yang ibu mahu, ibu jawab,

“Kasih sayang dan usaha gigih kalian untuk menjadi insan cemerlang dalam pelajaran sudah cukup untuk ibu sebagai hadiah duniawi. Impian ibu untuk melihat anak2 ibu belajar di UIA sudah tercapai apabila seorang demi seorang menjejakkan kakinya di Taman Ilmu dan Budi tanpa paksaan.

Sudah 20 tahun ibu berada dalam majlis konvokseyen UIA dan melihat anak2 orang lain naik ke pentas mengambil ijazah. Ibu mengimpikan suatu hari nanti akan melihat anak2 ibu sendiri naik ke pentas yang sama seperti mereka. Ibu duduk di dewan sebagai ibu kepada graduan bukan sebagai pegawai UIA.

Sudah bertahun2 ibu mengendalikan pemilihan graduan untuk anugerah cemerlang konvokesyen UIA dan ibu impikan suatu hari nanti anak ibu adalah salah seorang dari mereka. Tahun ini buat pertama kali ibu tidak lagi berada dalam barisan  juri bagi pemilihan itu. Namun tahun inilah semua impian ibu itu InsyaAllah akan menjadi kenyataan. Dua orang anak ibu akan naik ke pentas bergelar graduan dan salah sorang akan menerima anugerah itu. Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah Yang Maha Pemurah.

Ibu tidak bangga untuk  kemegahan tetapi ibu bangga anak ibu dapat menjiwai saranan ibu agar menjadi pemuda pembawa obor kecemerlangan ummah.

Bukankah ibu selalu berpesan “genggam bara api biar sampai jadi abu. Apa saja yang kita pilih untuk lakukan… lakukannya dengan  kualiti kelas pertama. Buat jangan buat-buat, bermain jangan main-main”.

Kalau anak2 masih sudi ibu ingin  satu hadiah lagi yang lebh berharga dari semua itu. Hadiah teristimewa yang bakal ibu bawa ke kubur nanti.

Hadiahkan ibu dengan kasolehan kalian  mencintai masjid dan khusyu’ dalam beribadat.

Sejukkan mata dan hati ibu dengan melihat anak2 ibu meletakkan solat berjemaah sebagai agenda harian terpenting dalam hidup. Dalam susah dalam senang, panggilan solat usah dibiarkan tidak berjawab. Solatlah di mana azan dilaungkan.

Gembirakan hati ibu dengan melihat anak2 yang tidak lokek membantu orang yang memerlukan. Kehebatan kita akan lebih bererti apabila kita membantu orang lain jadi lebih hebat.

Tenangkan jiwa ibu dengan melihat kalian meletakkan Allah di atas segala urusan….itulah hadiah yang lebih bermakna untuk ibu dari hadiah seisi dunia ini.

Waktu anak2 ibu kecil dulu kalian rajin mengikut ibu solat. Ibu berdiri di depan dan kalian bersusun di belakang ibu. Ibu tinggi, kalian rendah

Masa begitu cepat berlalu. Sekarang anak2 ibu sudah besar,  kini ibu mengikut kalian solat. Ibu berdiri di belakang dan kalian pula bersusun di depan  ibu. Kini ibu rendah, kalian tinggi dan ibu tenggelam dalam ketinggian anak-anak ibu…. suasana yang sangat membahagiakan kerana pada penglihatan ibu kalian masih comel seperti dulu.

Suatu waktu nanti akan tiba masanya apabila ibu dijemput Allah, ibu akan berada di depan semula dan kalian akan bersusun menghadap jasad ibu untuk solat terakhir mengiringi ibu ke alam barzakh. Ibu akan terlalu rendah dan anak-anak terlalu tinggi.

Waktu itu ibu di depan terkujur kaku tanpa suara lagi dan kalian di sisi ibu khusyu’ membacakan doa untuk ibu. Kata Nabi saw, hanya doa anak yang benar2 soleh di antara kalian yang dapat ibu nikmati nanti.

Ingatkah kalian adakalanya si comel ibu tertidur di atas sejadah menunggu ibu selesai solat. Ibu  akan angkat buah hati ibu dengan pelukan sayang dan dengan penuh hati-hati ibu bawa si comel ibu  ke bilik tidur.

Sekarang bersedialah menjadi anak soleh agar pabila sampai masanya nanti selepas jenazah ibu disolatkan kalianlah yang akan mengangkat ibu untuk dibawa ke bilik tidur ibu yang abadi.

Wahai anak-anak ibu!! Ibu tidak sudi sekiranya  tangan yang bakal mengangkat ibu nanti bukan tangan anak ibu yang soleh.”

Coretan ini ibu tujukan kepada enam orang anak yang ibu lahirkan sebagai menjawab soalan, “apa hadiah yang ibu inginkan untuk hari jadi ibu?”

Ibu Anak Merdeka, ibu tidak terikat kepada keperluan hadiah duniawi.

Ibu tidak minta yang lebih besar dari usaha gigih anak2 menjadi insan soleh.

4 responses so far

Aug 16 2010

martinelli

Menuju Solat Menghadap Allah

Filed under Uncategorized

Tanda Islamnya kita ialah kita mendirikan solat lima waktu.

Tanda berimannya kita ialah dalam solat kita khusyu’ menghadapNya.

Kata Allah swt,

Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya” (Al-Mu’minun:1-3).

Kalau orang beriman itu adalah orang yang khusyu’ solatnya, ini bererti orang yang tidak khusyu’ solatnya adalah orang yang TIDAK BERIMAN?!

Wahai diri apakah  selama ini kita hanya menipu Allah yang kita sudah beriman sedang solat kita tidak menentu khusyu’nya?”

Kata Nabi saw, pahala solat belum tentu kita dapat sepenuhnya. Ia bergantung kepada kualiti solat yang kita lakukannya:

Sesungguhnya seorang lelaki apabila selesai menunaikan solat,  tidak ditulis pahala untuknya melainkan sepersepuluh, sepersembilan, seperlapan, sepertujuh, sepernam, seperlima, seperempat, sepertiga atau seperdua ” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban dari ‘Ammar bin Yasir r.a..

Tanyalah diri ” Wahai diri, berapalah bahagian pahala  yang kamu dapat setiap kali  solat dan sudah berapa yang terkumpul sepanjang  bertahun-tahun hidup.” Diri tidak bisa menipu lagi kerana dia tahu solat jenis apa yang dipersembahkan pada Allah selama ini.

Astaghfirullahil ‘Azhim…!!

Kata ulama’:

Khusyu’ itu tidak datang sendiri tetapi perlu diusahakan secara berterusan. Apabila dapat memilikkinya ia adalah lebih baik dari dapat memiliki seisi dunia

Kita bertanya lagi pada diri, “Wahai diri yang malang, kamu sudah bekerja keras untuk meraih ijazah. Kamu bekerja bermati-matian untuk mendapat pengiktirafan ketua pejabat. Kamu  berusaha kuat untuk memiliki hati orang yang kamu cintai. Kamu bekerja keras untuk membahagiakan keluarga. Tetapikamu terlupa berusaha untuk mencari yang lebih bernilai dari seisi dunia iaitu membina khusyu’ dalam ibadah. Bukankah ia penentu kualiti hamba jenis apa kamu di mata Allah.

Berapa banyakkah kita habiskan wang untuk meraih ijazah? Berapa tahunkah kita membina kerjaya dengan pulang ke rumah hingga larut malam? Berapa ribuan jamkah waktu yang sudah kita habiskan untuk semua itu?

Bilakah kali terakhir kita berusaha secara serius membina khusyu’?

Tubna ila ALlah, wa raja’na ila ALlah, wa nadimna ‘ala ma fa’alna.

Bangunlah. Ambillah sejadah dan pakaian solat. Berbisklah padaNya,

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Allllaaah……….kasihilah aku ….sayangilah aku……aku hambamu ya Allah.

Tundukkan nafsu. Langkahkan kaki dengan tawadhu’ menuju tempat wudhu’. Tumpukan fikiran kepada Allah yang menunggu kehadhiran hati kita. Biarkan roh kita yang sedang dahaga merasa bahagia di saat ini kerana ia terlepas dari himpitan nafsu. Rasakan kelembutan air menyirami jasad kita. Ia bersih dan membersihkan diri dan dosa2 kita.  Air ciptaan Allah yang sangat lembut dan menyegarkan ini boleh saja menjadi ganas apabila membentuk badai. Namun dalam ganas atau lembut ia tetap tunduk dan akur kepada hukum Pencipta. Ia mungkin saja merasa bahagia diambil untuk berwudhu walaupun selepas itu ia akan mengalir dengan kotoran yang lain.

Air bertasbih, lantai batu yang kita pijak juga bertasbih. Darah kita bertasbih serentak dengan denyutan jantung tiada hentinya. Kini mulut kita sama-sama menyebut “Allah”…..maka bertasbihlah segala yang ada di sekeliling kita dalam rentak yang harmoni yang hanya dapat dirasakan oleh jiwa yang khusyu.

Dengan air wudhu yang masih menitik di badan, tangan ditadahkan dan mulut berbisik pada Tuhannya:

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri)”

Kita melakukannya kerana Rasullah saw. pernah bersabda

“Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘Abdahu wa rasulluh, Allah hummaj ‘alni minat tawwaabin, waj’alni minal mutatohhiriin akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.

(Hadis Riwayat Al-Tarmizi(50);Sahih:Sahih Al-Tarmizi(55) dan Al-Nasai(148);Sahih:Sahih Al-Nasai(148))

Inilah langkah-langkah menuju khusyu’ dalam solat. Kita tidak tahu apakah ini adalah wudhu yang terakhir dan solat yang terakhir kerana nyawa kita ada dalam genggamanNya. Saidina Abu Bakar akan menggigil badannya di saat2 begini ketika melangkah menuju solat…kita bagaiamana pula?

Berdiri di atas sejadah penuh tawadhu’, bisikkan lagi dengan tenang,

“ALLLLAAAAHU AKBAR…….Allah, Tuhanku, Engkaulah yang Maha Besar, aku hanya insan kerdil datang menghadapkan diri padaMu, terimalah aku”

Allah itu Maha Pengasih, Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Kalau kita datang dengan berjalan Dia akan datang dengan berlari……. Kini Dia sedang melihat dengan penuh rahmah walaupun kita tidak melihatNya. Inilah Khaleq yang tidak pernah bosan mendengar curahan hati hambaNya. Semakin kita rasa bergetar semakin mencurah kasihNya.

Ya. Rabb. Tidak mampu kami melakukannya tanpa bantuanMu. Berikanlah kami hati yang sentiasa mencintaiMu. Hati yang mencintai apa yang Engkau cintai. Hati yang menyayangi orang2 yang Engkau sayangi. Jangan biarkan kami sendiri walaupun sesaat tanpa bantuanMu. Usah biarkan hati kami yang lemah ini dikotori oleh nafsu dan iblis sehingga terhijab doa dan rayuan kami kepadaMu.  Ya Ilahi, berkatilah mereka yang membaca tulisan ini moga mereka mendapat kebaikan darinya.

4 responses so far

Aug 14 2010

martinelli

SOLAT KHUSYU’

Filed under Pendidikan, motivasi

“Solat yg khusyu’ itu adalah apabila anda merasa manisnya sujud itu lebih enak dari tidur. Ingatlah Allah tidak menerima solat kecuali kita menghadhirkan hati kita kepadaNya dalam solat yg khusyu’”

Kata Pak Yus  dengan tenang semasa kursus Pelatihan Solat Khusyu di Masjid Hulu Kelang. Pak Yus merupakan anak murid Pak Abu Sangka penulis buku Pelatihan Solat Khusyu’ dari Indonesia.

Rasa malu dengan Allah, rasa kesal, rasa takut, rasa gelisah….semua bercampur-baur mengenangkan kualiti solat yg telah dilakukan selama ini.

“Jangan cari khusyu’ tetapi carilah Allah, anda akan menemui khusyu’ itu. Allah  berada sangat hampir dengan kita. Kita saja yg menjauhkan diri dariNya. Pada saat anda merasa Dia ada, di situlah datangnya khusyu’. ” Katanya lagi.

Pagi itu Allah memberikan kelapangan untuk saya mengikuti kursus Pelatihan Solat Khusyu’ anjuran Solat Center. Sudah lama saya membaca buku karya Pak Abu Sangkan itu dan sekarang berpeluang mengikuti kursusnya.  Sekadar untuk berkongsi beberapa kesimpulan dengan anda pembaca setia blog ini.

  • Ibadah yang tertinggi adalah solat. Ia penentu kualiti hidup seorang Muslim.
  • Solat itu sangat susah untuk dilakukan kecuali bagi orang2 yang khusyu’ hatinya dan sabar sifatnya.
  • Tidak munafikkah kita setiap kali solat menyebut “Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit Dan bumi. Dengan suasana lurus Dan berserah diri Dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam..” sedangkan fikiran melayang kepada yang lain.
  • Air wudhu’ adalah hydrotherapi yang mujarab menyegarkan sel2 otak apabila kepala disiram sebagaimana pokok yang layu menerima air. Rasa dingin air di kepala yang keletihan punya kesan yang menakjubkan yang hanya diberikan kepada orang Islam.
  • Mengangkat tangan dalam takbir tanda penyerahan total kepada Allah sambil mata tunduk ke bawah tanda pengakuan yang hamba Allah ini sedia menerima apa saja arahan dari Penciptanya. Setiap nadi dan sel  setia bertasbih kepada Allah. Dalam solat khusyu jiwa kembali mengikut fitrah sebenarnya iaitu sama-sama bertasbih kepada Allah. Waktu ini roh dan jasad dalam keadaan sama rentak sama irama bertasbih kepada Pencipta Yang Maha Hebat.
  • Kerana kasihNya Allah kepada ummat Muhammad saw. kita diberikan surah AlFatihah yang tidak diberikan kepada ummat  yg. lain untuk dibaca setiap rakaat. Setiap ayat yang dibaca dijawab sendiri oleh Allah. Bagaimana mungkin kita sanggup menyia-nyiakan anugerah sebesar ini kecuali mereka yang tidak merasa manisnya solat.
  • Setiap permulaan gerakan solat dilakukan toma’ninah sebagai persiapan untuk mempersembahkan sebutan yang terbaik dan sempurna sebagaimana layaknya ucapan hamba kepada Khaliqnya, tidak tergopoh gapah tidak terburu-buru mengejar urusan dunia.
  • Saat ruku’, otak, paru-paru, jantung dan perut dalam kedudukan sejajar. Hati yang bersih membawa fikiran yang bersih ke otak. Ia dibantu oleh jantung yang mengepam darah beroksigen ke badan dan otak dan mengambil darah yang sudah digunakan bagi mengeluarkan karbon dioksida melalui paru-paru. Pengepaman darah membantu menolak kekotoran salurnya. Sistem saraf tunjang dalam keadaan sempurna menghubungkan impuls dari anggota badan kepada sistem otak. Waktu itu kita ucapkan,”Maha suci tuhanku Yang Maha Agung….” dengan rasa ta’jub atas ciptaan Allah yang tidak lalai walau sesaatpun mengatur alam dari pergarakan zarah yang sangat halus sehingga ciptaanNya yang besar di angkasa raya. Pandangan mata yang lemah ini tidak dapat melihat semua itu, tetapi kita punya mata hati untuk memerhatikannya tanpa had. Ucapan itu disebut perlahan-lahan supaya hati dapat merasa getaran makna ucapan itu.
  • Rasulullah saw solat dengan menyempurnakan setiap gerakan solat sehingga para sahabat yang menjadi makmum dibelakang pernah menyangka Rasulullah saw terlupa untuk bangun dari rukuk dan sujud dan untuk sujud apabila berdiri  kerana masa yang lama baginda gunakan untuk setiap satunya. Baginda menjawab rasa hairan sahabatnya dengan berkata,”Bagaimana aku mahu sujud sedangkan aku belum sempurna mempersiapkan diriku untuk sujud kepada Tuhanku. Bagaimana aku mahu bangun sedangkan aku belum sempurna sujud kepada Tuhanku.”
  • Waktu sujud otak yang biasa berada paling atas turun berada di tempat paling bawah bagi melatih rasa zuhud  dengan membuang segala perasaan hebat diri yang merosakkan nilai seorang hamba. Seluruh jiwa dan raga diserahkan sepenuhnya kepada Pencipta Yang Maha Tinggi. Pada saat itu kita merayu untuk diiktiraf sebagai hamba yang amat memerlukan Tuhannya. Kita tidak punya apa-apa upaya tanpa bantuan dan kasih sayangNya.
  • Sewaktu duduk antara sujud, Allah dengan sifatNya yang penuh dengan rahmah menyuruh kita meminta apa saja dan Rasullullah mengajarkan doa, ” Ya Allah, ampunilah daku…Rahmatilah daku….kayakan daku… angkatlah darjatku di sisiMu…berikan aku rezeki… .berilah aku hidayah. Sihatkanlah daku Dan Maafkanlah akan daku.” Ia dibaca dengan  tenang, satu-persatu, penuh harapan dan yakin bahawa Allah sedang mendengar doa kita.
  • Gerakan yang betul dalam solat boleh menyembuhkan penyakit termasuk penyakit kronik namun itu bukanlah matlamat solat.
  • Solat untuk medekatkan diri pada Allah dan sebagai bonus untuk jasad kita diberikan ganjaran kesihatan. Rasulullah saw. pernah suatu ketika merasa amat letih lalu memanggil Bilal, “Laungkanlah azan wahai Bilal. Aku mahu merehatkan diriku dengan solat.”
Solat khusyu’ mendidik jiwa membelai jasad agar keduanya berjalan seiring mengikut fitrah asalnya. Nikmat solat kita sia-siakan  dan kita mencari yang lain untuk menyelesaikan masalah kehidupan.
Dalam kursus itu diajarkan kaedah gerakan yang betul dalam solat selari dengan fisiologi badan. Pada hari itu saya sedang mengalami sakit belakang yang sudah saya tanggung selama 3 minggu sejak balik dari Sarawak dan selama 3 minggu itu saya tidak dapat rukuk dalam solat. Alahamdulillah, selepas mempraktikkan cara rukuk dan sujud yang betul, sakit belakang saya hilang.
Kesan solat saya perhatikan sendiri pada ibu saya yang berumur 81 tahun yang disahkan doktor mempunyai tahap kesihatan yang luar biasa. Tiada darah tinggi, tiada masalah jantung, paru2 atau kolesterol tinggi.  Ingatan beliau amat kuat. Mungkin kerana beliau yang sentiasa menjaga solat dalam apa saja keadaan, mengerjakan solat sunat rawatib dan dhuha sejak muda. Setiap malam solat tahajjud, solat tasbihnya tidak pernah tinggal dan solat terawih tetap 20 rakaat di bulan Ramadhan. Beberapa kali pencuri cuba masuk rumah waktu malam tetapi cabut lari mungkin kerana melihat ibu saya solat.
Setelah memerhatikan semua itu hati kita mengakui
“SUBAHANALLAH!!!Tiada lagi nikmat Allah yang mampu kita nafikan kini”

3 responses so far

Aug 09 2010

martinelli

BUANG BAYI ?!…. moh wadon, kata wali songo!!!

Filed under Pendidikan, kemanusiaan

Menghadiri sidang meja bulat di Kementerian bersama beberapa wakil NGO. Suatu usaha yang baik bagi mendapatkan pandangan rakyat.  Hanya segelintir NGO Islam yg hadir. Saya hadir tanpa diundang semata2 ingin mengetahui keadaan sebenar. Topik perbincangan ..isu buang bayi, isu yg mengerikan. Statistik yg dibentangkan oleh PDRM menambahkan lagi kengeriaan itu. Apakah negara kita sedang menerima bala? …. astaghfirullahil ‘azim.

Ada yang mencadangkan usah dihukum mereka yg datang membuat laporan, sebab akan menambah kes.  Perlu diajar pendidikan seks supaya mereka tahu. Sediakan tempat meletakkan bayi yg selamat.  pengharaman pornografi perlu dilakukan dengan lebih keras. Ada yang menyokong ada yang menolak berdasarkan fakta2 tertentu.

Institusi kekeluargaan perlu diperkemas supaya anak2 rapat dengan ibu tetapi apa,  siapa , bagaimana ia boleh dilakukan?

Pelbagai hujah dikemukakan menambah sesak fikiran. Yang mana satu yg perlu didahulukan. Keadaan kini seolah2 orang memakai selimut pendek, ditarik ke atas, terbuka kaki, ditarik ke bawah terbuka badan…..DAN  dipenghujungnya, seperti biasa……. jom buat pelancaran kempen besar-besaran di IPT!!!!!!!

Saya tidak lagi mampu tersenyum. Semua kita tahu akarnya, dasarnya dan asasnya adalah nilai agama. Analisanya adalah ilmu. Perancangannya adalah muafakat. Pelaksanaannya adalah komitmen dan tanggunjawabnya adalah pada kita semua.

Apabila rasa bertuhan gersang dari hati, si gadis mengikut saja ajakan si teruna yang punya nafsu tetapi akal tidak terbimbing dengan sempurna.

Jiwa bertuhan kering di hati ibubapa, hubungan dengan Allah terhijab dan doa tidak kesampaian.

Jiwa bertuhan hilang dari masyarakat, kita meninggalkan hukum agama yang sudah sedia jelas dan mencari hukum lain untuk mencari penyelesaian.

Teringat saya cerita sdr. Ahmad Azam dalam tazkirahnya tentang kisah Sunan Ampel salah seorang Wali Songo yang menasihatkan raja Majapahit, Prabu Sri Kertawijaya yang beragama Hindu. Sang raja gelisah dengan masalah rakyatnya yang kucar-kacir dan mengeluh kepada permaisurinya, Ratu Darawati.  Sang Ratu mencadangkan agar raja meminta nasihat Sunan Ampel bagaimana harus menyelesaikannya. Sunan Ampel atau Raden Rahmat yang merupakan seorang ulama dan pendakwah  Islam  lalu menyarankan  falsafahnya yang  terkenal,  ”moh limo” atau jauhi 5 perkara yang tercela.

1. moh main (tidak mau judi),

2. moh ngombe (tidak mau mabuk),

3. moh maling (tidak mau mencuri),

4. moh madat (tidak mau mengisap candu), dan

5. moh wadon (tidak mau berzina).

Sang raja mengikut saja nasihat Sunan dan akhirnya ternyata nasihat tersebut berjaya mengamankan negara. Aktiviti meyabung ayam diharamkan dan sesiapa yang melakukannya akan dibawa menghadap raja lalu dihukum. Rakyat dilarang membuat tuak. Pencuri dihukum seadil-adilnya. Daun ganja, madat  dan candu dimusnahkan. Sesiapa  yang melakukan madon (zina) diberikan hukuman berat.

Raja akur dengan pendapat orang yang berilmu, rakyat akur dengan perintah raja, tentera menjalankan tugas di setiap penjuru negara. Akhirnya rakyat hidup bahagia. Para petani gembira dengan hasil titik peluh mereka, peniaga bertambah untung, kaum wanita terjaga dan kanak-kanak selamat membesar dalam pangkuan keluarga.

Walaupun raja menolak untuk masuk Islam, namun baginda tidak menghalang rakyatnya mengikuti ajaran Sunan Ampel kerana kagumnya baginda dengan pendekatan sang wali yang penuh hikmah itu. Tiada paksaan tiada kekerasan. Rakyat masih terus bermain gamelan dan kesenian lain yang sudah sebati dengan kehidupan mereka. Jiwa bertuhankan Allah yang satu tidak ada anak, tiada ibubapa dan keindahan wajahNya tidak boleh diukir dengan patung akhirnya  menusuk ke dalam hati masyarakat dengan lembut.

Apakah Malaysia perlukan Sunan Ampel untuk menyelesaikan masalah keruntuhan moral hari ini? Tidak, pemimpin kita adalah Islam bukan Hindu, Ulama’ kita ada beribu, rakyat 60% beragama Islam dan tahu dosa dan pahala.

Yang perlu ialah

Tanamkan jiwa bertuhan di setiap hati insan yang masih bernyawa. Letakkan Tuhan di hati agar kita sentiasa sedar akan kehadiranNya.

Buatlah apa saja yang mampu kita lakukan tanpa bertangguh, tanpa alasan.

Usah diulang cerita bangau oh bangau kerana mereka menanti huluran tangan kita  yang gigih bukan mulut kita yang banyak dalih.

Sampaikan nasihat kepada sesiapa saja kerana “Agama Itu Adalah Nasihat,” kata Rasulullah salallahu ‘alaihi wassalam.

2 responses so far

Aug 03 2010

martinelli

KETAGIH FACEBOOK

Filed under Intelektual, Keluarga, motivasi

“Sayang, abang balik. Lapar ni, boleh siapkan makan?” Tanya Ali kepada isteri yang sedang berada di bilik.

“Kejap, bang. Sayang tengah bagi ‘kambing’ makan ni.” Jawab Aminah, sambil terus melayan ternakan virtual dalam facebook, permainan yang digilai ramai orang,

“Kambing bodoh tu bagi makan, suami lapar kena tunggu pulak?” Leter suami yang setiap hari menahan sabar dengan sikap isteri yg melekat dengan facebook.

Sejam kemudian aminah pergi ke dapur. Didapatinya pinggan bekas makan suami dalam sinki dan sebuah kuali di atas dapur. Suami, seperti biasa, menggoreng sendiri telur untuk dijadikan lauk kerana tidak dapat menahan lapar menunggu hidangan isteri.

“Mama, tolong Amar buat karangan ni. ” Rayu Amar kepada ibunya,  Aminah malam itu.

“Amar buat dulu. Kejap lagi mama datang.” Jawab ibunya. Aminah masih meneruskan hobi melayan kawan2 lama dalam facebook.

Dua jam kemudian, selepas Aminah menutup komputer didapatinya Amar sudah tertidur menangkup atas buku tulis dengan pensel di tangan. Karangannya tidak habis ditulis.  Terlalu lama menunggu mama yang tidak kunjung datang membantu.

Aminah adalah salah seorang dari jutaan manusia yang menjadi mangsa ketagihan facebook. Kes ketagihan facebook semakin parah dalam masyarakat barat dan kini menyusupi masyarakat Malaysia yang menyerang bukan saja anak2 muda malah warga emas yang menghabiskan masa berjam2 menulis dan menjawab status kawan2.

Facebook dijadikan pelarian dari masalah dan tanpa disedari ia menyedut berjam-jam masa produktif yang sepatutnya digunakan untuk melunaskan amanah dan tanggungjawab. Bagi pelajar masa yg sepatutnya untuk membuat kerja sekolah, membuat assignment, membaca buku terbuang begitu saja kerana merasakan semua itu membebankan dan beralih kepada facebook untuk melegakan perasaan.

Masa untuk membaca buku bertukar kepada masa membaca facebook. Waktu beribadah tahajjud pun boleh turut terjejas kerana tarikan facebook.

Hari ini tidak lagi perkara luar biasa melihat suasana di rumah orang bandar jam 8 malam yang biasanya keluarga berkumpul dan bergurau senda di ruang keluarga sambil menonton tv kini masing2 menghadapi facebook di tempat masing2. Ibu dan ayah dg laptop masing2 di bilik. Anak2 di bilik mereka  atau di ruang tamu dan masing2 punya laptop sendiri. Tiada bunyi, tiada suara  kecuali bunyi keyboard dan suara bibik sedang mencuci pinggan di dapur.

Adalah masih dikira baik kalau mereka masih berkomunikasi sesama sendiri. Yang malangnya setiap orang sedang berfacebook dengan kawan2 masing dan ahli keluarga tidak termasuk dalam senarai yang di ‘add’ sebagai ‘friends’ dan tiada ‘mutual friends’ di kalangan ahli keluarga.

Ciri-ciri ketagihan facebook:

1. Tidak dapat berenggang dg. internet

2. Terus mencapai facebook sebaik saja bangun dari tidur, sampai di pejabat atau sampai di rumah.

3. Sentiasa terbayang apa yg ada dalam facebook semasa offline,

4. Sentiasa terbayang untuk menulis sesuatu dalam facebook semasa offline

5. Lebih selesa melayari facebook dari keluar rumah atau menonton tv

6. Masa dihabiskan lebih setengah jam setiap kali melayari facebook.

7. Melayari facebook lebih 3 kali sehari sekadar berbual kosong.

8. Facebook dijadikan tempat meluahkan perasaan.

9. sentiasa mengharapkan ramai orang memberi komen.

10. Rasa gelisah yang amat sangat apabila berada lama di tempat  yang tiada internet.

Facebook amat berguna untuk merapatkan hubungan persahabatan dan keluarga, mencari teman2 lama atau siapa saja yg ingin dihubungi sekiranya tidak dapat dihubungi dg tel. Adakalanya pada waktu2 kritikal facebook amat diperlukan utk menghubungi seseorang.

Mat rempit dan kaki lepak dikaitkan dengan masalah anak2 generasi Y. Tetapi anak2 generasi Z rasanya lebih selamat dari gejala rempit kerana mereka lebih suka duduk di rumah melayari internet menghubungi rakan2 dalam dunia maya. Malangnya mereka sukar berinteraksi secara alam realiti.

Sesuatu yang baik itu boleh digunakan  untuk keburukan jika kita mahu. Sesuatu yang buruk itu boleh juga digunakan untuk kebaikan sekiranya kita mahu. Hanya akal yang terpimpin dengan prinsip agama saja yang mampu menjadikan setiap sesuatu itu menjadi berharga untuk dirinya, orang lain dan alam seluruhnya.

8 responses so far

Older Posts »

FireStats icon Powered by FireStats