I keep these words so that my children could keep the wisdom….
Welcome to Abah kepada Auni, Imdad & Yasmin - I keep these words so that my children could keep the wisdom....

Apa yang sebenarnya dicari dalam kerjaya?…. No comments yet

Dari dulu hingga sekarang dan sampai bila-bila, Islam mengajar umatnya supaya melakukan pekerjaan yang halal dan mendapat barakah. Ada banyak pekerjaan di dunia ini yang mana jika dilakukan oleh individu akan memberikannya pulangan wang yang lumayan dan banyak. Akan tetapi Islam mengingatkan bahawa ada pekerjaan yang halal hasilnya, ada pekerjaan yang haram hasilnya dan ada pekerjaan yang syubhah (di tengah-tengah antara halal dan haram). Dalam Islam, melakukan pekerjaan bukan semata-mata untuk mencari wang, harta, pangkat ataupun kemewahan, akan tetapi yang lebih penting adalah, pekerjaan yang dilakukan itu boleh menjadi suatu ibadah, halal dan mendapat barakah. Jika seseorang individu mendapat keberkatan (barakah) daripada Allah S.W.T, kehidupannya menjadi aman dan tenteram di samping sentiasa mendapat kegembiraan dan merasai kebahagiaan.

 

Bekerja Adalah Ibadah

Pekerjaan yang dilakukan oleh mana-mana individu boleh menjadi suatu ibadah kerana beberapa sebab. Sebab yang paling penting adalah niat individu untuk bekerja, iaitu niat untuk bekerja kerana Allah S.W.T bagi mendapatkan rezeki / upah yang halal bagi membolehkannya membeli makanan, minuman dan barang-barang keperluan untuk diri sendiri, untuk anak dan isteri (sekiranya telah berkeluarga) ataupun ibu bapa yang di bawah tanggungannya dan mendapatkan tempat tinggal yang selesa dan sesuai untuk diri dan keluarganya. Individu yang mempunyai niat yang sebegini dalam bekerja adalah individu yang berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang anak, seorang suami, seorang bapa dan seorang Muslim sekaligus. Dengan itu, apa jua pekerjaan yang halal yang dilakukannya akan menjadi suatu ibadah kerana ia dilakukan dengan niat yang betul. 

 

Sebab-sebab lain pula antaranya adalah melihat kepada pekerjaan yang dilakukan itu, sama ada ianya memberikan hasil atau pulangan yang halal ataupun memberikan hasil atau pulangan yang haram, ataupun melakukan pekerjaan yang dikira bersubahat (syubhah) dengan perkara-perkara yang haram. Hasil yang sedikit tetapi halal lebih baik daripada hasil yang banyak tetapi haram. Manakala, pekerjaan yang termasuk dalam perkara-perkara yang syubhah pula adalah lebih baik untuk dijauhi demi untuk memelihara diri dari terjerumus kepada melakukan sesuatu yang haram. Islam tidak melihat kepada kuantiti harta atau hasil yang diperolehi dari sesuatu pekerjaan tetapi lebih kepada melihat kualitinya. Dalam Islam, yang dititikberatkan dalam aspek mencari rezeki bukan dari segi jumlahnya, tetapi dari segi keberkatannya (barakah). Harta yang banyak jika tidak ada barakah dalam penghasilannya, tidak akan membawa pemiliknya ke mana-mana.

 

Dari pandangan mata kasar memang sering dilihat para pemilik harta kebanyakannya hidup dalam kemewahan dan kesenangan. Akan tetapi, dari aspek kedamaian dan ketenangan hati, harta dan kekayaan yang bertimbun-timbun belum tentu dapat membeli kebahagiaan hidup. Hati manusia tidak akan dapat ketenangan dan ketenteraman jika hidupnya dikelilingi harta dan kemewahan yang tiada keberkatan (barakah). Islam lebih mementingkan aspek keberkatan (barakah) dalam kehidupan. Walaupun harta yang dimiliki seseorang itu sedikit, tetapi jika ia dari sumber yang halal, keberkatan (barakah) ada padanya. Sebab itu, silap jika ada orang yang memikirkan bahawa orang-orang yang bekerja di sawah bendang ataupun di kebun-kebun sayuran, orang yang bekerja membuat bangunan dan kerja-kerja kasar yang lain - mereka itu tidak gembira dan bahagia dengan apa yang mereka lakukan.

 

Memang pada mata kasar kelihatan mereka menghadapi kesukaran, tetapi hakikatnya hidup mereka juga akan merasa aman dan tenteram jika mereka melakukan pekerjaan dengan jujur, amanah dan bersungguh-sungguh. Di dalam dunia ini, manusia memang ada yang ditakdirkan untuk melakukan kerja-kerja yang berat dan ada yang ditakdirkan untuk melakukan kerja-kerja yang ringan. Sesuatu kerja yang ringan itu, tidak semestinya sesuai untuk orang yang lebih suka melakukan kerja yang berat, begitu juga sebaliknya. Kerja yang berat juga tidak sesuai untuk orang yang suka kepada kerja yang ringan. Hidup ini memang begitu, tidak membenarkan setiap orang hanya melakukan perkara yang sama sahaja.. Oleh itu, yang penting adalah, setiap individu melakukan kerja masing-masing dengan baik dan sempurna. Apa yang berlaku sebenarnya adalah, setiap individu itu melakukan kerja-kerja yang lengkap melengkapi keperluan masing-masing di atas muka bumi Allah S.W.T ini..

 

Pendek kata, bukan hasil yang menjadi ukuran keberkatan (barakah) pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang individu, akan tetapi jalan penghasilannya itulah yang lebih penting. Bukan harta dan wang ringgit yang dicari dalam sesuatu pekerjaan, tetapi sebenarnya yang lebih utama adalah keberkatan (barakah) kerja yang dilakukan, yang seterusnya boleh mendatangkan kebahagiaan dan ketenangan hati. Seseorang yang bekerja adalah juga sebenarnya seseorang yang berusaha untuk melaksanakan amanah yang terpikul dibahunya. Seorang lelaki yang telah berkeluarga, akan bekerja kerana hendak menyara kehidupan anak-anak, isteri, dan ibu bapa yang masih hidup lagi yang merupakan suatu amanah yang terpikul dibahunya. Bukankah dengan menunaikan sesuatu amanah seseorang itu akan diberikan pahala?

 

 

Bila seorang lelaki bekerja, dia mendapat pahala kerana melakukan pekerjaan tersebut untuk menunaikan amanah keatasnya. Pahala tersebut bukan diberi berdasarkan kepada hasil kerjanya itu, tetapi kepada keikhlasan dan daya usaha yang dilakukannya semasa bekerja. Dalam melakukan sesuatu pekerjaan, pasti ada halangan-halangan dan dugaan yang terpaksa dihadapinya. Perkara-perkara seperti akan menjadi seperti pemangkin kepada usaha dan ikhtiar yang dilakukannya. Jika dia seorang yang yakin dengan Allah S.W.T, usaha dan ikhtiarnya akan sentiasa bertambah dan tidak berbelah bagi. Imannya kepada Allah S.W.T juga semakin mendalam dan dia akan menjadi hamba Allah S.W.T yang lebih baik dari sebelumnya. Inilah antara hasil sesuatu pekerjaan yang membawa barakah kepada seseorang yang melakukannya.

 

Bekerja Adalah Amanah

Ketika ini, ramai yang sudah terkeliru ataupun terlupa dengan falsafah agama Islam tentang pemilikan harta dan kekayaan. Mereka menyangka, harta yang diperolehi dari kerja-kerja yang dilakukan adalah milik mutlak mereka semata-mata dan tidak perlu dikongsikan sedikit pun dengan saudara se-Islam lain yang memerlukan. Hakikatnya, di dalam Islam, harta benda bukanlah milik mutlak mana-mana individu yang memilikinya. Sebab itu, di dalam Islam, ada kewajipan mengeluarkan zakat bagi harta yang diperolehi. Sesiapa yang memiliki harta yang banyak dan bertimbun-timbun sebenarnya diberi amanah oleh Allah S.W.T untuk menguruskan harta tersebut. Padanya (harta itu) ada bahagian yang perlu dikeluarkan untuk golongan yang fakir, miskin dan asnaf-asnaf zakat yang lain sekiranya cukup syarat-syaratnya yang telah ditentukan.

 

Apa gunanya harta yang banyak dan bertimbun-timbun kalau ianya diperolehi dengan cara menipu orang ramai? Apa gunanya mempunyai kenderaan mewah dan rumah yang besar jika ianya tidak halal dan tiada unsur-unsur barakah padanya? Ramai orang yang melupakan soal barakah, halal, haram dan syubhah dalam pekerjaan yang dilakukan kerana hanya hendakkan keuntungan yang berlipat ganda. Kerana hendak cepat menjadi orang kaya, ada orang yang sanggup melakukan apa-apa sahaja sehinggakan dia tidak peduli lagi sama ada perbuatannya itu telah melanggar batas-batas syariat Islam ataupun tidak. Wang ringgit yang banyak, pangkat, kedudukan, harta benda dan kemewahan seperti mempunyai kuasa sakti yang ajaib yang berupaya membuat manusia yang lemah Iman dan jati diri sebagai seorang individu Muslim yang Mukmin terpedaya dan sanggup melakukan apa-apa sahaja kerananya.

 

Dewasa ini ramai yang sudah tidak lagi mempedulikan uslub atau jalan yang digunakan untuk memperolehi harta dan kekayaan. Begitu juga, ramai orang yang tidak lagi menghiraukan cara bagaimana mereka memperolehi pangkat dan kedudukan di dalam pekerjaan. Yang penting apa yang diingini tercapai. Tidak pedulilah sama ada cara yang digunakan untuk mencapai matlamat tersebut elok ataupun tidak. Dalam suasana bekerja dan makan gaji dengan orang lain misalnya, ada individu yang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan kedudukan yang lebih baik dalam kerjaya ataupun kenaikan pangkat. Ada ketua jabatan yang sanggup menganiaya kakitangan bawahannya bagi mengekalkan kedudukannya. Ada pula kakitangan bawahan yang menyokong apa-apa sahaja tindakan ketuanya semata-mata hendakkan kenaikan pangkat dengan cara mudah.

 

Ramai yang sudah tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai agama Islam yang murni yang telah dipelajari dahulu ketika di bangku sekolah apabila telah berada dalam alam pekerjaan. Ramai yang masih jahil dengan dengan ajaran agama Islam tentang amanah dan tanggungjawab ataupun dengan sengaja melupakan atau buat-buat lupa tentangnya demi untuk mendapatkan apa-apa sahaja yang dicita-citakan dalam kerjaya. Atau, mungkinkan semua ini berlaku disebabkan sikap tamak dan haloba dalam diri yang begitu menebal atau memang sifat manusia yang selalu terlupa dengan pengajaran dan peringatan? 

 

Bila direnung dan difikirkan lama-lama, apalah sangat yang ada pada pangkat dan kedudukan itu, hingga manusia sanggup berbuat apa-apa sahaja untuk mengejarnya sehingga sebegitu rupa? Sudah terlalu tinggi kah darjat diri apabila telah mendapat kenaikan pangkat dan menjadi ketua kepada pekerja-pekerja yang lain? Hasilnya, bukan tugas dan tanggungjawab yang dilakukan di tempat kerja, tetapi asyik sibuk dengan pelbagai strategi untuk menganiaya dan menyingkirkan pekerja-pekerja bawahan dan rakan-rakan sekerja yang lain dirasakan akan mengancam perancangan peribadi masing-masing.

 

Ketika ini, di mana-mana tempat kerja berlaku apa yang dinamakan “politik tempat kerja”. Kerapkali tujuannya bukan untuk meningkatkan prestasi kerja ataupun meningkatkan produktiviti kerja, tetapi biasanya lebih berbentuk untuk memenuhi sasaran peribadi ataupun kumpulan tertentu di dalam tempat kerja. Ada ketua jabatan yang memang membuat perancangan dengan kakitangan bawahannya yang menyokong dan mengampunya untuk menyingkirkan kakitangan lain yang berdedikasi dalam bekerja dan mampu melakukan kerja dengan baik. Ada, juga kakitangan bawahan yang tidak mampu melakukan kerja dengan baik seperti rakan-rakan sekerjanya yang lain, mengambil jalan mudah dengan mendekati ketua jabatan dan menabur fitnah bahawa rakan-rakan sepejabatnya tidak mahu memberi kerja sama dan sebagainya. Ketua jabatan pula, tanpa usul periksa mempercayai bulat-bulat segala tohmahan dan fitnah daripada kakitangannya yang dianggap paling setia dan paling dipercayai yang memburukkan lagi keadaan.

 

Budaya menikam dari belakang, mengadu domba, menjadi batu api dan menjadi talam dua muka adalah budaya negatif yang boleh ditemui dengan mudah di mana-mana sahaja tempat kerja yang tidak produktif. Masa dan tenaga sebenarnya banyak terbuang untuk mengampu, mengambil hati, membuat fitnah dan melaga-lagakan antara kakitangan (staf), yang telah menjadi perkara rutin kepada kakitangan di dalam organisasi yang sebegini. Keadaan organisasi yang sebegini memang bukan suatu keadaan yang sihat dan sesuai untuk bekerja. Ia menjadi parah dan sukar diubah jika ketua jabatan sendiri yang melakukannya dan menjadi perancang utamanya. Ada ketua jabatan yang tidak tahu mengurus kakitangan bawahannya yang produktif, menggunakan cara keji yang sebegini untuk mengekalkan kedudukannya dan imej dirinya yang kononnya cekap melakukan kerja.

 

Dalam Islam, setiap pekerjaan yang dilakukan sama ada oleh individu yang merupakan pekerja biasa ataupun mereka yang mempunyai pangkat dan kedudukan adalah suatu amanah. Orang yang diberi upah untuk membuat sesuatu pekerjaan sebenarnya memikul amanah daripada majikan yang mengambilnya bekerja. Kalau dia seorang kakitangan bawahan, dia diamanahkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya yang telah diberikan. Kalau dia seorang ketua jabatan, dia diamanahkan untuk memimpin dan memberi tunjuk ajar kepada kakitangan di bawah jagaannya. Janganlah pula ketua jabatan hanya asyik hendak mencari-cari kesalahan dan kelemahan kakitangannya, kerana itu bukan tugasnya semata-mata. Begitu juga dengan pekerja bawahan, janganlah pula asyik hendak mencari-cari kelemahan dan kesalahan ketuanya sahaja. Perlu ada budaya tegur menegur dan bantu membantu yang ikhlas di dalam tempat kerja, supaya masing-masing dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

 

Takutlah kepada Allah S.W.T dengan amanah yang terpikul di bahu masing-masing, baik pada kakitangan bawahan mahupun pada kakitangan atasan. Tak kira apa kerja yang dilakukan, ia akan dipersoalkan nanti di hari akhirat di hadapan Allah Rabbul Jalil. Pada masa itu, mulut dan lidah yang selama ini sentiasa berdusta di dunia akan kehilangan upaya untuk berkata-kata lagi. Akan tetapi, anggota badan lainlah yang akan menjawab semua soalan yang diberikan dan menjadi saksi kepada tuan empunya badan. Ramai individu yang berjaya mendapat pangkat dan kedudukan di dalam kerjaya yang bukan disebabkan oleh keupayaan mereka melakukan kerja. Tetapi mereka ini amat pandai berkata-kata di dalam mesyuarat ataupun dalam apa-apa perbincangan organisasi hinggakan kelihatan seperti pekerja yang amat berdedikasi dan berkebolehan. Di hadapan manusia, memang ada manusia yang mahir untuk menipu dan mengaburi mata orang lain. Akan tetapi ingatlah! Allah S.W.T bukannya tidak mengetahui apa yang mereka lakukan!

 

Jika ada sedikit Iman dalam diri, pasti akan terdetik perasaan bahawa apa-apa yang dilakukannya di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T di hari akhirat kelak. Seorang pekerja Muslim yang sentiasa patuh pada ajaran Islam dan meyakini akan kekuasaan dan kebesaran Allah S.W.T pasti akan merasakan bahawa dirinya adalah hamba Allah S.W.T di atas muka bumi ini. Tiada suatu tempat pun di atas muka bumi ini yang dia tidak diperhatikan dan diawasi oleh Allah S.W.T. Kerana itu, apabila dia melakukan kerja, tiada ruang dan keupayaan untuk dia menipu diri sendiri dan orang lain. Mulut dan lidah memang boleh menipu orang lain bagi menegakkan perkara-perkara yang tidak benar. Akan tetapi, bolehkah seseorang manusia menipu dirinya sendiri?

 

Hidup ini sebenarnya bukan untuk sentiasa menang. Tetapi, hidup di dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari keredhaan Allah S.W.T. Keredhaan Allah S.W.T di perolehi daripada amal ibadah yang dilakukan sehari-hari dengan penuh ikhlas dan tekun. Menang dan kalah bukan ukuran sama ada seseorang itu melakukan perkara yang betul atau salah. Yang betul tetap betul dan yang salah tetap salah. Jika seorang yang berpangkat melakukan sesuatu perkara yang salah, ia tetap sesuatu yang salah. Begitu juga jika kesalahan itu dilakukan oleh pekerja-pekerja biasa yang lain. Perkara yang salah itu tak boleh menjadi betul hanya disebabkan ia dilakukan oleh seseorang yang berpangkat dan berkedudukan. Bukan itu yang diajar oleh Islam kepada umatnya!

 

 

- wallahu a’lam bith thawab -

CHEESE FOR EVERYBODY 1 comment

CHEESE FOR EVERYBODY

CHEESE FOR EVERYBODY

Berapa Lama Anda Telah Bekerja? No comments yet

Sedar tak sedar, dah berapa lama anda bekerja? Hari-hari kita bangun pagi dan bersiap ke pejabat. Menempuh perjalanan panjang dengan kereta atau motosikal ke pejabat… Pegi pagi ketika matahari belum lagi terbit.. Bila pulang ke rumah, matahari telah pun terbenam… Pergi dalam gelap dan balik pun dalam gelap… Itulah dunia orang bekerja pejabat, dan pejabat jauh dari rumah..

Saya dah bekerja selama sepuluh tahun di UIAM. Anda pula berapa tahun? Mungkin ada yang lebih lama daripada saya ataupun mungkin kurang lama daripada saya.. Lama berapa tahun tak lah penting sangat.. Yang penting, seronok atau tidak bekerja di UIAM?

Selama ini sebenarnya kita banyak menghabiskan masa di pejabat daripada di rumah. Di pejabat, masa yang diperuntukkan paling kurang 9 jam sehari.. Biasanya lebih dari itu, terutamanya jika kita pergi dalam gelap dan pulang pun dalam gelap. Lamanya masa tu tak terasa jika kerja kita memang seronok dilakukan.. Jika tempat kerja tidak seronok, betapalah siksanya untuk melekat di tempat kerja selama 9 jam… Sengsaralah kehidupan sepanjang masa..

Nak seronok bekerja ni bukan susah.. Kenal-kenallah kerja tu, kenal-kenallah rakan-rakan… Ini semua boleh diusahakan sendiri.. Tapi, nak seronok bekerja juga bergantung kepada nasib.. Nasib menjadi baik bila dapat bos yang bagus dan tahu melakukan kerjanya.. Nasib menjadi tak baik jika mendapat bos yang tidak bagus dan tak tahu melakukan kerjanya.. Apa pun, terimalah sesiapa juga bos kita.. Sesuaikan diri dengan stail bos bekerja.. Lama-lama boleh juga akhirnya bekerja dengan bos yang sebegitu?

Anda setuju ? atau tak setuju dengan pendapat saya.. Terpulang… Ini sekadar pendapat saya yang bekerja genap 10 tahun di UIAM ni pada tahun ini. Apa pun, Allah Yang Maha Tahu segalanya.. apa yang baik untuk kita dan apa yang buruk kepada kita…

Wallahua’lam

Hello world! 1 comment

Welcome to IIUM Weblogs. This is your first post. Edit or delete it, then start blogging!

Top of page / Subscribe to new Entries (RSS)
FireStats icon Powered by FireStats