* … from a blogger.
##################################
Adakah Internet yang patut dipersalahkan lantaran menyediakan medium fitnah, menyebar khabar angin dan menghasut?
Tentu sahaja ia bukan salah internet. Ia adalah suatu keadaan yang kita harus terima sebagai sebahagian daripada perkembangan kehidupan manusia.
Bahkan, tidak dinafikan masih ramai lagi blogger yang begitu ikhlas menulis. Teringat kata-kata ustaz Hasrizal, ” Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU. Pencerahan bukanlah pada mengumpul pengetahuan, tetapi keupayaan untuk membuka jalan …”.
Sebenarnya, kita semua tidak perlu rasa terancam dengan kehadiran blog. Sebaliknya semua pihak perlu memahami tentang konsep the wisdom of crowds di alam maya.
Pengunjung blog juga perlulah cerdik dan bijak memilih bahan yang baik. Tidak semua yang tertulis itu betul. Anggap sahajalah seorang blogger itu cuba menyampaikan sesuatu maklumat kepada anda. Namun, ada ketikanya dia tersalah tulis lantaran keasyikannya dalam menulis.
Maka, di sinilah pentingnya sikap interaktif sesama kita. Semua orang boleh beri pandangan, meskipun tidak semua komen tersebut bernilai.
Minat ini sebenarnya mampu menjana suatu cara berfikir yang lebih demokratik, rasional, intelek dan segar, baik kepada blogger itu sendiri atau pun kepada sesiapa sahaja yang cuba mencari maklumat di internet berkenaan sesuatu isu. Sebab itulah pengarang buku The Wisdom of Crowds iaitu James Surowiecki berhujah bahawa:
” Large groups of people are smarter than an elite few, no matter how brilliant–better at solving problems, fostering innovation, coming to wise decisions, even predicting the future ”
Khas untuk Bloggers, dalam ilmu Psikologi ada menekankan 4 aspek yang mempengaruhi persepsi. Yang pertama The law of continuity (Prinsip Penerusan) , The law of proximity (Prinsip Dekat) , The Law of Similarity (Prinsip Persamaan) dan The Law of Closure (Prinsip Penutup). InsyaAllah dalam entry lain, saya akan huraikan keempat-empat aspek ini.
Rumusan dari keempat-empat prinsip ini, rasanya dapat saya simpulkan bahawa kita perlu mengelak daripada pre-judgment atau menganggap semua orang sama. Terima hakikat bahawa semua orang berbeza dan mempunyai keistimewaan masing-masing.
Mulakan dengan berfikiran neutral, jangan terlalu prejudis dan juga jangan terlalu beranggapan positif pada semua orang. InsyaAllah, dalam keadaan inilah kita mampu menyalurkan pandangan secara kritis dan harmoni.
Untuk diri ini, saya masih berusaha untuk lebih banyak membaca daripada menulis. Membaca juga tidak semestinya sekadar membaca bahan bertulis, tetapi membaca juga bermaksud memerhati, berfikir dan menafsir. Tulisan adalah proses memecahkan idea kepada butir-butir yang disusun agar apa yang dibaca dan difikirkan itu jelas, tersusun dan boleh dikenalpasti hujung pangkalnya.
**