Islamic NLP Parenting: Ikhlas Ke Sekolah
Setiap hari bermula isnin hingga jumaat anak-anak kita pasti ke sekolah atau yang masih kecil akan ke pusat asuhan. Anak saya tidak terlepas daripada perkara yang sama iaitu ke pusat asuhan. Kita sering berhadapan dengan pelbagai ragam anak-anak ke sekolah.
Anak saya yang berumur 3 tahun 3 bulan juga mempunyai ragamnya. Sebelum ini pernah tidak mahu ke sekolah selama hampir 2 bulan. Setiap kali hantar beliau ke sekolah, beliau akan menangis sehingga meraung-raung. Saya memang tidak sanggup melihat anak menangis ditinggalkan.
Saya dan isteri seringkali berdoa agar Allah SWT mencerahkan jiwa anak saya agar beliau tinggal di pusat asuhan dengan kerelaan hati, bukannya terpaksa.
Suatu hari saya berdoa, “Ya Allah, cerahkan jiwa anak aku ini agar beliau tenang untuk tinggal di nursery ya Allah. Ya Allah kuatkan jiwanya ya Allah“.
Ternyata doa saya dimakbulkan oleh Allah SWT tetapi dengan syarat iaitu mengikhlaskan jiwa saya dan isteri di dalam tujuan menghantar anak saya ke sekolah.
Allah SWT memberikan ilham untuk menyedarkan saya dan isteri bahawa selama ini saya menghantar anak ke sekolah kerana saya dan isteri perlu bekerja dan tiada siapa yang dapat membantu kami menjaga anak kami itu. Kami tersentak dengan kesedaran niat kami menghantar anak ke pusat asuhan tidak sampai kepada tahap ikhlas yang terbaik.
Keikhlasan menghantar anak itu adalah ikhlas kerana tiada siapa mahu menjaga beliau ketika kami bekerja. BUKANNYA DITINGKATKAN KEPADA NIAT KERANA ALLAH SWT.
Ikhlas Kerana Allah SWT
Memikirkan apa yang dilakukan itu samada ikhlas atau tidak pasti menjadi tidak ikhlas.
Ikhlas itu hadir apabila kita sedar apa yang kita lakukan itu adalah tanggungjawab yang Allah SWT berikan kepada kita sebagai wakil Allah SWT. Dengan kesedaran bahawa kita ini adalah wakil Allah SWT dan diamanahkan tanggungjawab lalu kesedaran tanggungjawab ini membuatkan kita melaksanakan tanggungjawab dengan rela, pasti jiwa menjadi tenang.
Nah! ketenangan itulah menandakan bahawa ikhlasnya kita melaksanakan tanggungjawab. Kita tidak langsung memikirkan ikhlas atau tidak ketika melaksanakan tanggungjawab tetapi kita hanya sedar itu adalah tanggungjawab yang Allah SWT berikan dan mesti dilaksanakan kerana ia amanah Allah SWT.
***
Saya dan isteri kini sedar bahawa menghantar anak kami ke pusat asuhan bukan sekadar kerana tidak ada orang yang dapat membantu menjaga anak kami ketika kami bekerja tetapi ditingkatkan lagi kesedaran itu iaitu menghantar anak ke pusat asuhan merupakan tanggungjawab kami kepada Allah SWT untuk memastikan anak kami selamat dan mendapat pendidikan yang sempurna.
Kesedaran tanggungjawab kepada Allah SWT inilah yang jarang dimiliki oleh kita semua. Sebagai contoh lain, kita menghantar anak ke sekolah hanyalah semata-mata ingin anak kita pandai agar boleh mencari wang atau harta dunia yang banyak suatu hari nanti.
Lalu kita berkorban wang dan tenaga demi memastikan anak kita menjadi anak yang pandai kerana niat kita inginkan anak kita berjaya dan dapat membantu kita kembali suatu hari nanti. Tidak cukup ke sekolah, kita juga menghantar anak kita ke kelas tambahan walaupun sesetengahnya masih berada di tahun 1.
Ia tidak merupakan satu kesalahan tetapi bebanan kepada mereka itu adalah kerana niat kita yang bukan KERANA ALLAH SWT. Kita boleh mengatakan ia ikhlas kerana Allah SWT tetapi kebanyakannya adalah hanya sekadar kita tahu kita perlu melakukan semuanya ikhlas kerana Allah SWT. Bukannya benar-benar dari jiwa kita ia kerana TANGGUNGJAWAB KITA KEPADA ALLAH SWT.
***
Pastikan kesedaran kepada Allah SWT tidak dilepaskan walaupun sesaat. Oleh itu pastikan ketika kita menghantar anak kita ke sekolah atau pusat asuhan kita berada di dalam kesedaran.
Pegang tangan dan peluklah anak kita sewaktu menghantarnya ke sekolah atau pusat asuhan. Ketika memeluk itu, bangunkan kesedaran bahawa kita lakukan semua ini adalah tanggungjawab kita kepada Allah SWT untuk memastikan anak kita selamat dan terjaga dengan baik.
Disamping itu kita memohon kepada Allah SWT agar anak kita akan bersemangat menimba ilmu dan mampu sedar tanggungjawab dia (anak) sebagai wakil Allah SWT.
Kesedaran tanggungjawab itu bukan sekadar ingat tetapi benar-benar lahir daripada jiwa kita ini.
Ketika kita memegang dan memeluk anak kita dan kita berada di dalam kesedaran melaksanakan tanggungjawab kita ini kerana amanah Allah SWT, maka ada satu aliran kasih sayang bersama pengertian tanpa kata-kata mengalir daripada jiwa kita kepada anak kita melalui tangan kita yang memegangnya dan tubuh yang mendakapinya.
Ia membuatkan anak kita memahami dan merasai sepenuhnya bahawa perginya beliau ke sekolah atau pusat asuhan kerana membantu ayah dan ibunya di dalam melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT. Keikhlasan dan kerelaan pasti wujud di jiwa anak kita.
Bangunkan kesedaran ini setiap kali kita menghantar anak kita ke sekolah atau pusat asuhan.
Seterusnya yang lain kita serahkan kepada Allah SWT untuk menjaga jiwa dan raga anak kita sepanjang anak kita berada di sekolah dan di pusat asuhan agar sentiasa dituntuni Allah SWT dengan taqwa dan kebaikan.
***
Sejak hari itu, anak saya pergi ke sekolah dengan semangat yang tinggi. Beliau pergi dengan penuh minat dan penuh dengan kerelaan hati. Tidak lagi menangis tidak mahu ditinggalkan. Menunjukkan pemergian beliau ke pusat asuhan itu adalah pemergian yang penuh dengan ikhlas seolah-olah sangat mengerti bahawa ayah dan mama nya sedang melaksanakan tanggungjawab kepada Allah SWT.
Terima kasih Allah SWT kerana memberikan kesedaran kepada kami. Semoga kesedaran ini juga tersebar luas ke dalam jiwa-jiwa ayah dan ibu yang lain.
di ulang cetak dari : http://www.fuadlatip.com
| M | T | W | T | F | S | S |
|---|---|---|---|---|---|---|
| « Jun | ||||||
| 1 | 2 | 3 | 4 | |||
| 5 | 6 | 7 | 8 | 9 | 10 | 11 |
| 12 | 13 | 14 | 15 | 16 | 17 | 18 |
| 19 | 20 | 21 | 22 | 23 | 24 | 25 |
| 26 | 27 | 28 | 29 | 30 | 31 | |
RSS feed for comments on this post · TrackBack URI
Leave a reply